Mansuh UPSR satu pendekatan positif

Iklan
KPM sedang dalam peringkat akhir kajian untuk memansuhkan UPSR dan keputusan muktamad mengenai pemansuhan itu akan dibuat tidak lama lagi. (Gambar kecil: Zulkefli Abu Bakar)

SHAH ALAM - Walaupun keputusan untuk memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang sedang dalam peringkat akhir kajian oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) masih belum dimuktamadkan, namun berita itu mendapat reaksi pelbagai daripada guru-guru.

Sebahagiannya dilihat bersetuju dan menganggap ia sebagai pendekatan positif jika benar-benar dimansuhkan.

Iklan
Iklan

Pada masa yang sama, terdapat juga guru yang kurang bersetuju kerana berpendapat UPSR penting untuk mengukur prestasi murid dari Tahun Satu sehingga Tahun Enam.

Guru Penyelaras Tahun Enam di sebuah sekolah rendah di Shah Alam, Zulkefli Abu Bakar berkata, dia percaya berita tersebut bukan sahaja mengejutkan dirinya tetapi juga guru-guru lain yang telah biasa dengan sistem UPSR untuk menilai pencapaian murid.

Iklan

Menurutnya, secara peribadi sekiranya UPSR benar-benar dimansuhkan, keadaan akan menjadi kelam kabut kerana guru-guru mata pelajaran dikehendaki mengisi Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) untuk menilai murid.

"Guru-guru hanya sekadar meletakkan tahap penguasaan (TP) untuk diberi kepada murid dan sukar untuk menilai murid kerana mereka mungkin tidak membuat latihan atau menjawab latihan secara bersungguh-sungguh.

Iklan

"Jika UPSR dikekalkan, pasti murid-murid akan lebih bersedia kerana mereka menganggap bahawa UPSR adalah satu peperiksaan yang penting dan harus bersedia daripada awal,” katanya kepada Sinar Ahad di sini semalam.

ARTIKEL BERKAITAN: UPSR mungkin dimansuhkan

Terdahulu, Timbalan Menteri Pendidikan I, Muslimin Yahaya memaklumkan KPM sedang dalam peringkat akhir kajian untuk memansuhkan UPSR dan keputusan muktamad mengenai pemansuhan itu akan dibuat tidak lama lagi.

Dalam pada itu, Zulkefli berkata, sebelum ini pemilihan untuk ke sekolah berasrama penuh (SBP), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) serta sekolah khusus akan jadi lebih mudah jika penilaian UPSR diambil kira.

"Jika UPSR tiada, pendekatan bagaimana pula akan diambil? Malah dengan tiadanya UPSR, sudah pasti ia juga akan menjejaskan prestasi murid-murid dari Tahun Satu hingga Tahun Enam.

"Saya berharap UPSR dapat dikekalkan agar persaingan sihat antara murid dapat dinilai setelah enam tahun mereka belajar di sekolah rendah,” katanya.

Beliau berkata, selagi keputusan untuk memansuhkan UPSR ini belum dimuktamadkan, beliau berharap pihak berkaitan dapat membuat kajian sedalam-dalamnya tentang perkara itu.

REAKSI

Sumiyah

Berdasarkan pengalaman mengajar kelas peperiksaan hampir 15 tahun, saya amat bersetuju jika UPSR dimansuhkan kerana dapat bantu guru untuk fokus kepada kemenjadian murid dalam pelbagai bidang manakala murid-murid akan ada pelbagai kecenderungan. Guru juga tidak berorientasikan peperiksaan semata dan lebih mudah merancang pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) yang menyeronokkan.” - Sumiyah Yahaya, 38, Jerantut

Mohd Fauzi

Saya setuju jika UPSR dimansuhkan kerana guru-guru tidak perlu lagi mengejar silibus serta tidak perlu tertekan memikirkan prestasi UPSR jika ia merudum. Malah guru-guru boleh menumpukan kepada pembelajaran 3M (membaca, menulis dan mengira) bagi memastikan murid yang lemah dalam aspek itu tidak ketinggalan.” - Mohd Fauzi Sulaiman, 36, Mentakab

Fazilah Muda

Saya setuju dengan cara penilaian ini memandangkan kita berada dalam normal baharu. Pentaksiran berdasarkan bilik darjah yang dijalankan sedikit sebanyak pastinya memberi gambaran yang tepat tentang pencapaian murid Tahun Enam sepanjang tahun persekolahan." - Fazilah Muda, 43, Kuantan