NIBONG TEBAL - Bapa Penyerang muda Johor Darul Ta'zim (JDT), Muhammad Syafiq Ahmad sedih kerana belum sempat melihat cucu lelakinya yang terkorban dalam kejadian kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Sungai Bakap, di sini awal pagi tadi.
Ahmad Ibrahim, 56, berkata, mereka sekeluarga sudah merancang untuk melawat Muhammad Syafiq dan isteri di Johor yang baru menerima cahaya mata pada 14 November lalu sebaik tempoh perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) berakhir.
Menurutnya, mereka sekeluarga sepatutnya bertolak ke Johor 11 Disember ini namun terpaksa ditunda sekali lagi ke hujung bulan ini berikutan kawasannya di Bayan Baru di sini dikenakan pula Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
"Kami sekeluarga teruja untuk melawat cucu lelaki pertama kami, Muhammad Aisy Saqeef dan adik Muhammad Syafiq juga sudah mengambil cuti untuk melawat mereka di Johor.
ARTIKEL BERKAITAN: Penyerang JDT, Syafiq Ahmad kemalangan, bayi maut
TMJ ucap takziah kepada Syafiq Ahmad
"Bagaimanapun, semuanya tidak kesampaian dan kami sekeluarga sangat sedih," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sungai Bakap, di sini pagi ini.
Ahmad berkata, dia menerima panggilan kira-kira jam 4 pagi tadi yang memaklumkan anaknya terlibat dalam kemalangan dan memintanya segera ke lokasi kejadian.
Dia pada mulanya menyangka pemanggil itu tersalah orang dan menjelaskan kesemua anaknya berada di rumah.
"Ketika itu saya langsung tidak menyangka Muhammad Syafiq yang terlibat dalam kemalangan kerana saya tidak tahu dia dalam perjalanan ke rumah mentuanya di Pendang, Kedah.
"Dia mungkin ada memberitahu ibunya mahu pulang ke Kedah kerana sering berkongsi cerita dengan ibunya," katanya.
Ahmad berkata, daripada perbualan dengan Muhammad Syafiq, anaknya yang memandu kereta jenis Toyota Velffire itu berkata, dia cuba mengelak sesuatu yang melintas menyebabkan kenderaannya terbabas dan merempuh pembahagi jalan.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan Penyerang muda Johor Darul Ta'zim (JDT), Muhammad Syafiq Ahmad, 25, cedera ringan selepas kenderaan jenis Toyota Vellfire berwarna hitam dipercayai dipandunya terlibat dalam kemalangan, awal pagi tadi.
Dalam kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Sungai Bakap itu turut mengorbankan bayi lelakinya berusia 22 hari selain wanita warga tempatan Zainab Wahab, 45, dan warga Indonesia Titik Sukamti, 30-an.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, Muhammad Syafiq dan seorang lagi anak perempuannya, Aaira Nur Saffiyya, 2, cedera ringan namun isteri beliau, Nur Amalina Nur Ain, 25, dilaporkan cedera parah.