KUALA LUMPUR - Kira-kira 200 rakyat Malaysia yang terperangkap di India sudah dibawa pulang ke negara ini.
Timbalan Menteri Luar Datuk Kamaruddin Jaffar berkata, kesemua mereka ini terperangkap di negeri-negeri di India.
"Hampir kesemua mereka yang ditahan di beberapa negeri di India sudah pulang ke tanah air. Setiap negeri di India mempunyai peraturan kehakiman yang berbeza.
"Majoriti yang besar telah pun berjaya kita usahakan, jadi buat masa ini tidak sampai 10 orang yang masih berada di sana," katanya.
Beliau berkata demikian selepas program sumbangan Mesin Hand Sanitizer kepada Balai Polis Sungai Besi dan menyampaikan sumbangan cecair pembasmi kuman dan apron kepada wakil persatuan penjaja Pekan Sungai Besi hari ini.
Pada 14 Oktober lalu, sekumpulan 16 jemaah tabligh selamat tiba dari Hyderabad, India melalui penerbangan Air India Express.
Sembilan kumpulan jemaah tabligh akan kembali ke tanah air secara keseluruhan dan pihak kementerian sudah membawa pulang 161 daripada 189 ahli yang terperangkap di negara itu.
Sebelum ini seramai 144 jemaah tabligh dibawa pulang melalui beberapa misi bantuan kecemasan dan bencana (HADR) masing-masing pada 18, 22 dan 29 Julai, selain 26 Ogos dan 18 September lalu.
Semua jemaah tabligh berkenaan perlu menjalani kuarantin diri selama 14 hari di pusat kuarantin ditentukan kerajaan.
ARTIKEL BERKAITAN: Lebih 17,000 rakyat India dihantar balik dari Malaysia