ALOR SETAR - Jawatan Menteri Besar Perak harus disandang oleh calon daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sekiranya usul undi percaya yang dilakukan hanya melibatkan jawatan itu semata-mata.
Bekas Exco Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu, Muzzammil Ismail berkata, Bersatu harus diberikan tanggungjawab untuk terus menerajui Perak biarpun Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ditolak oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak.
Menurutnya, ia harus dilakukan untuk kesepakatan Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional atas semangat setiakawan.
"Sepatutnya calon Menteri Besar Perak yang baharu mesti dalam kalangan ADUN Bersatu juga.
ARTIKEL BERKAITAN: Kami sedia bekerjasama dengan UMNO: PH Perak
Pemimpin UMNO, Pas bincang krisis politik Perak
UMNO sedia kerjasama PH bentuk kerajaan di Perak
"Jika undi percaya itu mahu tukar Menteri Besar Perak sahaja tanpa mengubah status kerajaan negeri, wajar calon dipilih daripada kalangan ADUN Bersatu juga," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Muzzammil yang merupakan Presiden Angkatan Baru Malaysia berkata, salah satu sayap perkaderan bawah Bersatu turut menasihatkan semua pihak di negeri itu agar tidak bersekongkol dengan pembangkang demi kuasa.
"Usul undi percaya yang berlaku itu telah menguji tahap kematangan politik antara Bersatu, Pas dan UMNO.
"Isu ini akan menyebabkan politik negara berkocak kembali setelah beberapa minggu dalam keadaan tenang," katanya.
Kemelut politik di Perak menyaksikan Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hilang jawatan itu apabila undi percaya tidak memihak kepada beliau.
Sebanyak 48 undi menolak usul percaya itu berbanding 10 yang menyokongnya, manakala satu undi rosak atau berkecuali.