KPLB sasar jualan RM5 juta

Iklan
Abdul Latiff memeriahkan Rancangan Masakan Chef Zam di kementeriannya semalam. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR

PUTRAJAYA - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyasarkan hasil jualan sebanyak RM5 juta daripada Mega Karnival Usahawan Desa secara dalam talian 2020 (eKUD@KPLB 2020).

Menterinya, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata, karnival yang berlangsung selama tiga hari bermula 4 Disember itu merupakan kemuncak kepada program pemasaran produk usahawan desa yang sebelum ini telah bermula dengan Jualan Siber pada November lalu di platfom Desamall@KPLB.

Iklan
Iklan

Menurutnya, lebih 300 tapak maya dengan 1,500 produk diketengahkan menerusi eKUD@KPLB 2020 yang julung kali diadakan susulan pandemik Covid-19 melanda dunia termasuk Malaysia.

"Bersesuaian dengan hasrat KPLB bagi membantu memasarkan pelbagai produk berkualiti usahawan luar bandar, eKUD@KPLB 2020 dengan tagline #eKUDPRIHATIN juga selari dengan inisiatif kerajaan yang sentiasa prihatin dan peka kepada situasi semasa yang kini beralih ke arah pemasaran secara digital.

Iklan

"Urusan jual beli berlaku melalui pelbagai platform e-Dagang yang ada di negara ini manakala usahawan yang masih belum menyertai mana-mana platform e-Dagang, urusan jual beli berlaku di akaun Facebook dan Instagram usahawan di mana semua capaian kepada akaun mereka dikumpul dalam satu bentuk direktori dipanggil eKEDAI.

"Kita perlu fikir bagaimana untuk memeriahkan dan mewujudkan satu platform pemasaran dan meluaskan potensi produk luar bandar yang mempunyai standard antarabangsa.

Iklan

Kebanyakan usahawan dari desa takut atau tidak tahu cara memasarkan produk mereka maka dengan adanya platform yang disediakan, sudah pasti ia memudahkan penjualan,” katanya pada sidang akhbar di kementeriannya di sini semalam.

Abdul Latiff turut mempamerkan bakat memasak ketika hadir dalam Rancangan Masakan Chef Zam di kementeriannya, semalam. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR

Mengulas lanjut, Abdul Latiff berkata, antara kluster yang mengambil bahagian dalam program itu adalah makanan dan minuman (F&B), kesejahteraan seperti produk spa, kosmetik dan makanan tambahan serta gaya hidup meliputi produk fesyen, aksesori dan kraftangan.

"Inilah peranan kami di kementerian yang menyediakan peluang 24 jam perniagaan atas talian setiap hari.

"Kita juga berharap usaha ini daat diteruskan dengan produk di bandar selain produk dari desa yang ada setakat ini,” katanya.

Katanya, pelbagai baucar diskaun hebat turut disediakan oleh platfom-platfom e-Dagang yang terlibat khusus untuk pengunjung yang hendak mendapatkan pelbagai jenis produk keluaran tempatan.

"Pengunjung dan pembeli yang membuat pembelian online serta memenuhi syarat semasa eKUD@KPLB 2020 akan berpeluang untuk menyertai cabutan bertuah dengan pelbagai hadiah menarik disediakan oleh penganjur,” kata beliau lagi.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Abdul Latiff turut memberitahu sesi padanan perniagaan turut berlaku secara dalam talian melalui kerjasama strategik bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) sepanjang tempoh tiga hari tersebut.

"Sebanyak 145 pertemuan telah dijadualkan antara pembeli dan usahawan bagi sesi padanan perniagaan kali ini,” katanya.

Katanya, antara pihak industri peruncitan yang terlibat adalah Petronas Dagangan Berhad, Tesco, TF Value-Mart dan Lulu Hypermarket manakala Matrade melalui e-Sellers Sourcing Program (eSSP) menjemput platfom Droppe, Blibli dan Bukalapak bagi pasaran Indonesia serta Figurative Japan untuk pasaran Jepun.

Selain itu katanya, sepanjang tempoh tiga hari itu juga, usahawan turut berpeluang mengikuti program keusahawanan yang akan berlangsung dalam talian seperti forum, webinar, rancangan bual bicara keusahawan dari panel serta usahawan berpengalaman.

"Dalam usaha memperkasakan usahawan luar bandar, beberapa sesi webinar daripada kerajaan dan sektor korporat turut diadakan.

"Justeru, KPLB berharap agar melalui program ini akan dapat memberikan semangat baharu kepada usahawan luar bandar dan meningkatkan iltizam mereka dalam berusaha memacu perkembangan ekonomi masyarakat di tempat masing-masing,” katanya.