TANJONG KARANG - Seorang pekerja pemasaran terserempak dengan seekor beruang matahari ketika berbasikal untuk makan sarapan ke sebuah warung roti canai di Kampung Sungai Sireh, Ban Kanal di sini, pagi tadi.
Nurul Asikin Omar Kasan, 25, berkata, dia yang ketika itu bersama empat beradiknya serta seorang anak saudaranya terus melarikan diri dengan memanjat gerabak sebuah jentera yang kebetulan di parkir berhampiran lokasi haiwan tersebut ditemui oleh mereka kira-kira jam 8.15 pagi.
"Kami tergamam selepas melihat haiwan tersebut yang jaraknya hanya 50 meter daripada kami. Kami terus meninggalkan basikal lalu memanjat ke atas sebuah gerabak jentera bagi mencari perlindungan.
"Kemudian beruang berkenaan dilihat menyeberang sungai lalu dengan berenang ke arah Hutan Simpan Sungai Karang. Kami bersyukur kerana haiwan tersebut segera beredar dan tidak menerkam ke arah kami," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.
Nurul Asikin yang menetap di Blok D Sawah Sempadan berkata, kehadiran beruang matahari bersaiz sederhana itu sempat dirakam menerusi telefon bimbit.
Sebelum ini, Asikin memuat naik status dan dua video berdurasi tujuh dan 20 saat di Facebooknya yang memaparkan kehadiran beruang matahari terbabit.
Sementara itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor menerima sebanyak dua aduan daripada pemimpin peringkat kampung berhubung kehadiran beruang matahari di sekitar Tanjong Karang.
Pengarahnya, Haidar Khan Mokbolhasan berkata, kejadian pertama berlaku di Kampung Sungai Gulang-Gulang pada 3 Disember lalu dan di Kampung Sungai Tengi Kanan, semalam.