Restoran meragukan diberi notis amaran

Iklan
Penguat kuasa KPDNHEP Tanah Merah (kanan) turut memantau salah sebuah restoran di daerah ini.

TANAH MERAH - Sebuah premis makanan diberi amaran pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Tanah Merah kerana tidak mematuhi peraturan perbahasan halal di daerah ini.

Ketua Cawangan KPDNHEP Tanah Merah, Wan Mohd Marzuki Wan Abd Kadir berkata, pemeriksaan dilakukan terhadap 28 premis restoran dan kedai makan.

Iklan
Iklan

"Melalui pemeriksaan terhadap premis yang diperiksa hanya satu yang dilihat gagal mematuhi peraturan dan kita beri notis amaran.

"Pihak premis perlu menjawab surat amaran itu dengan alasan munasabah dan sekiranya tidak mematuhi arahan akan dikenakan tindakan lanjut,” katanya.

Iklan

Menurutnya, pihaknya sentiasa mengadakan pemantauan bagi memastikan premis restoran dan makanan mematuhi peraturan ditetapkan.

"Perkara ini perlu dipandang serius berikutan sijil halal hanya dikeluarkan dan diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) dan bukan sewenangnya diletakkan tanda halal di premis.

Iklan

"Jika kita dapat kesan kedai yang meragukan kita akan terus beri amaran dan jika tidak patuh arahan maka tindakan tegas akan diambil,” katanya.

Wan Mohd Marzuki berkata, bagi pemeriksaan akan datang pihaknya akan turut bersama pihak Jabatan Agama Islam untuk sama-sama melakukan pemantauan.

"Pemeriksaan lanjut bukan sahaja akan dijalankan di premis menjual makanan seperti restoran, malah kita juga akan memeriksa kedai-kedai kosmetik dan kilang-kilang pembuatan makanan termasuk kek dan roti.

"Isu ini timbul apabila tular mengenai sebuah restoran bukan Islam yang menggunakan ayat al-Quran dan tulisan jawi bahkan ada yang berani guna logo halal palsu dan tidak diiktiraf JAKIM bagi melariskan perniagaan mereka sebelum ini,” katanya.