Kerajaan belum putuskan bila bawa masuk pekerja asing

Iklan
Saravanan menyerahkan sijil perakuan penginapan kepada pihak Kujaya Management Sdn Bhd di Frontier Park, Desa Cemerlang, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU - Kerajaan masih belum memutuskan bila akan membawa masuk semula pekerja asing ke negara ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, perkara itu akan dipertimbangkan setelah penularan wabak Covid-19 yang masih melanda negara ketika ini dapati diatasi.

Iklan
Iklan

"Keputusan ini juga perlu mengambil kira keadaan penularan pandemik dan tahap kesihatan di negara pekerja asing terbabit yang akan dibawa masuk. Ramai yang bertanyakan perkara ini, kita masih belum ada tarikh yang tepat.

"Selagi kita tidak dapat tangani isu wabak Covid-19 di negara ini, selagi itu kita tidak dapat bawa masuk pekerja asing. Begitu juga walaupun kita sudah bersedia untuk membawa masuk pekerja asing, namun ia bergantung kepada keadaan di negara berkenaan," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Asrama Pekerja dan Penyerahan Sijil Perakuan Penginapan kepada Kujaya Management Sdn Bhd di Frontier Park, Desa Cemerlang di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Jamil Rakon.

Iklan

Berkenaan cadangan Bank Dunia yang mahu melanjutkan usia persaraan menjadi 65 tahun, Saravanan berkata, buat masa ini kerajaan masih belum membincangkan tentang perkara tersebut.

Menurutnya, tumpuan kerajaan pada ketika ini menjurus kepada usaha menangani isu pengangguran yang semakin membimbangkan dengan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.

"Kadar pengangguran kini 5.3 peratus sejak Mei lalu, manakala unjuran untuk mengatasi pengangguran pula 4.56 peratus.

"Kita lihat keadaan hari ini, negara sedang dilanda pelbagai krisis termasuk krisis ekonomi, kesihatan dan perindustrian. Kalau dapat kurangkan kadar pengangguran, ia menjadi satu kejayaan yang besar," katanya.

Sementara itu, Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) menerima 3,927 permohonan Perakuan Penginapan sejak Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) dikuatkuasakan pada 1 September hingga 29 November lalu.

Saravanan berkata, permohonan tersebut diterima daripada majikan membabitkan pelbagai industri dan daripada jumlah itu 40 peratus permohonan sudah diluluskan.

Menurutnya, selebihnya masih dalam proses penelitian dan ada juga permohonan yang ditolak.

"Kelulusan diberikan dalam tempoh sekurang-kurangnya 21 hari setelah menilai ruang minimum kediaman, kemudahan asas bagi rumah dan pekerja serta elemen keselamatan dan kebersihan.

"Permohonan dan kepatuhan Akta 446 adalah penting selari piawaian Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dengan menyediakan penginapan asas yang kondusif dalam pelbagai aspek selain menjaga nama baik negara," katanya.

Pindaan kepada Akta 446 diluluskan di Dewan Rakyat pada 15 Julai 2019 dan Dewan Negara pada 31 Julai 2019 serta diwartakan pada 18 September 2019.

Akta 446 (Pindaan) 2019 juga bertujuan untuk menambah baik Garis Panduan Penginapan Pekerja Asing 2018 yang disediakan pihak JTKSM.

Saravanan berkata, majikan yang gagal mematuhi Akta 446 mereka boleh dikenakan denda RM50,000 bagi setiap pekerja.

Katanya, majoriti majikan yang membuat permohonan Perakuan Penginapan melibatkan sektor pembuatan, pembinaan, perkhidmatan dan pertanian.

"Kepatuhan terhadap Akta 446 akan dapat membantu majikan mengelak sebarang sekatan dikenakan terhadap produk mereka daripada dieksport atas tuduhan terlibat dengan buruh paksa," katanya.