Sudahlah 'kantoi' pecah amanah, kena cerai pula

Iklan

MELAKA TENGAH - Malang buat seorang pengurus restoran francais di Bukit Beruang di sini apabila bukan sahaja bakal berdepan tindakan undang-undang selepas kantoi pecah amanah wang syarikat sehingga RM100,000, malah turut diceraikan suami.

Difahamkan, suspek wanita berusia 26 tahun itu diceraikan sebaik sahaja suaminya mengetahui motosikal jenis Yamaha R25 yang dibelikannya secara tunai bernilai kira-kira RM25,000 dan wang pendahuluan kereta jenis Nissan Almeera sebanyak RM9,000 adalah hasil wang curi.

Iklan
Iklan

Menurut sumber, tindakan mencuri selama hampir setahun itu dikesan pengarah syarikat tempatnya bekerja apabila mendapati wujud data yang meragukan dalam akaun syarikat ketika melakukan audit akaun pada 31 Oktober lalu.

"Semakan dari November 2019 sehingga Oktober 2020 mendapati terdapat 75 transaksi wang yang dimasukkan ke dalam akaun syarikat tidak sama seperti tercatat di dalam sistem data mesin wang.

Iklan

"Data menunjukkan terdapat kerugian lebih kurang RM100,000 dan pengarah itu mengesyaki suspek mengambil wang syarikat dengan tidak memasukkan wang jualan harian mengikut jumlah yang sepatutnya seperti tercatat dalam sistem data mesin wang," katanya.

Sumber berkata, suspek ialah orang yang bertanggungjawab dan diberi kepercayaan oleh pengarah juga pemilik restoran itu untuk mengurus wang dan memasukkannya ke dalam akaun syarikat.

Iklan

"Siasatan awal mendapati suspek mempunyai kaitan dengan kes pecah amanah di sebuah premis terkenal yang menjual pelbagai produk dan peralatan rumah dengan harga rendah sebelum bekerja di restoran francais ini," katanya.

Pengarah syarikat tersebut yang hanya mahu dikenali sebagai Azie berkata, suspek bekerja sebagai penolong pengurus restoran pada Oktober tahun lalu sebelum dinaikkan pangkat sebagai pengurus restoran pada Januari tahun ini.

"Saya menganggapnya sebagai adik sendiri. Dalam waktu PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) ini walaupun banyak syarikat mengambil tindakan membuang pekerja bagi mengurangkan kos operasi, namun saya masih pertahankan kebajikan dengan mengekalkan pekerja sedia ada.

"Saya beri kepercayaan kepada dia dan memberi amanah kepadanya untuk menguruskan restoran termasuk bertanggungjawab mengira wang hasil jualan dan memasukkan wang ke dalam akaun syarikat.

"Saya terkilan kerana dia mengkhianati kepercayaan yang syarikat berikan dan saya harap dia akan insaf dengan perbuatannya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Pengarah berusia 37 tahun itu berkata, beliau kemudian membuat laporan polis pada 2 Disember lalu supaya siasatan terhadap suspek dilakukan kerana menyebabkan kerugian yang agak besar kepada syarikat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, laporan itu diterima pada 2 Disember lalu dan suspek kini ditahan reman sehingga 7 Disember ini untuk disiasat di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah.