KAMPAR - Identiti tiga mangsa kebakaran yang ditemukan maut di sebuah rumah kedai di Jalan Kampar Barat 3, Taman Kampar Putra di sini hari ini sudah dikenal pasti.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa merupakan seorang jururawat berusia 35 tahun bersama dua anaknya masing-masing berusia 12 dan enam tahun yang ditemukan terbaring atas katil di tingkat satu premis itu.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, siasatan mendapati motif kejadian dipercayai bunuh diri berikutan masalah peribadi dan keluarga selain menemui tong mengandungi minyak petrol.
"Laporan awam diterima daripada orang awam yang terlihat asap dari bilik yang disewa mangsa bersama dua anaknya sejak enam tahun lalu selepas berpisah dengan suaminya.
"Pihak bomba terpaksa memecahkan pintu untuk padam kebakaran dan dapati api marak pada bahagian katil. Mangsa kemudiannya ditemukan tidak sedarkan diri dipercayai mati akibat kebakaran,” katanya.
Menurutnya, pemeriksaan pasukan Forensik Bomba dan PDRM menemui tong minyak tersebut ditemui di belakang almari pakaian dan terdapat kesan renjisan minyak petrol pada dinding bilik tersebut.
"Berdasarkan maklumat rakannya, mangsa sering menceritakan masalah keluarga dan perkahwinan selain murung sejak dua minggu lalu. Mangsa juga pernah memberitahu bahawa urusan mayatnya tidak diserahkan kepada keluarga.
"Namun, mayat ketiga-tiga mangsa dihantar ke Hospital Kampar bagi menjalankan bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian,” katanya.
Hasron Nazri berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Wanita, dua kanak-kanak maut dalam kebakaran