AMPANG - Penduduk-penduduk Taman Kemensah Heights di sini menolak cadangan pembangunan projek dua pangsapuri kerana dibimbangi mendatangkan impak buruk terhadap kesejahteraan mereka di situ.
Bantahan projek yang keseluruhannya mengandungi 274 unit itu disuarakan oleh pihak Kemensah Resident Committew (KRC) yang mewakili 36 taman perumahan sekitar, dalam satu taklimat media hari ini.
Pengerusi KRC, Mohd Fazil Abdullah berkata, cadangan projek tersebut tidak boleh diteruskan kerana akan menggugat keselamatan penduduk berhampiran khususnya perumahan-perumahan terletak berhampiran tapak projek yang dicadangkan.
Menurutnya, cadangan tersebut juga akan menambahkan kepadatan penduduk sedia ada sedangkan saiz laluan kenderaan yang hanya 40 kaki tidak sesuai untuk kepadatan yang tinggi.
"274 unit bermakna pertambahan seramai 1,300 penduduk lagi, serta kira-kira 1,500 kenderaan. Ini akan menyebabkan kesesakan teruk di kawasan ini sedangkan jalan raya kecil tidak mampu menampung jumlah kenderaan yang banyak.
"Lot yang dicadangkan juga merupakan cerun bukit yang sangat bahaya. Dari segi keselamatan memang tidak sesuai langsung. Penduduk Kondominium Desaku terletak paling hampir akan terkesan apabila projek dimulakan. Kita tidak mahu ia jadi 'Highland Towers' kedua," katanya pada sesi taklimat berkenaan.
Berdasarkan papan notis pemberitahuan pembangunan oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya MPAJ, cadangan pembangunan itu mengandungi satu pangsapuri kos bebas berjumlah 219 unit, pangsapuri Selangorku jenis E sebanyak 55 unit serta sebuah pondok pengawal.
Susulan itu KRC bertindak menghantar surat bantahan kepada MPAJ pada 19 November sebelum dipanggil untuk hadir ke MPAJ pada baru-baru ini.
Bagaimanapun hasil pertemuan tersebut, difahamkan penduduk gagal mendapatkan Laporan Jawatankuasa Kawasan Sensitif Alam Sekitar (JKSAS), Laporan Impak Penilaian Alam Sekitar (EIA), dan Laporan Geoteknikal berkaitan cerun bagi menjamin projek tersebut selamat untuk diteruskan.
Bahkan penduduk juga tidak berpuas hati dengan laporan kajian kesan lalu lintas (TIA) yang dikemukakan.
Sehubungan itu, Mohd Fazil berkata, KRC bersedia mengumpulkan 5,000 petisyen bantahan untuk proses bantahan seterusnya.
"Kita tidak larang pemaju untuk majukan tanah mereka tapi jangan tambah unit. Kita tidak sanggup jadikan kawasan ini hutan konkrit. Ramai pesara pilih tinggal di sini sebab tenteram jadi kita tak mahu tempat ini dirosakkan," katanya.
Sementara itu, Pengasas Taman Kemensah Heights, Tan Sri Wan Mahmood Pa’Wan Teh berkata, ketika pembukaan kawasan itu pada tahun 70an, kepadatan yang dirancang hanya lapan unit rumah untuk setiap satu ekar.
Bagaimanapun katanya, dengan cadangan tersebut akan meningkatkan populasi berlipat kali ganda seterusnya memusnahkan kesejahteraan kawasan itu.
"Sebagai satu taman yang berada di lereng bukit, keselamatan cerun-cerun juga mesti dijaga bagi mengelakkan tanah runtuh.
"Jika tidak ada pokok-pokok aliran air hujan akan mencurah ke kawasan rendah dengan serta-merta dan akan mengakibatkan banjir kilat," katanya.