SHAH ALAM - Drama politik negara akan terus menyuramkan iklim pelaburan dan Malaysia bakal mengakhiri tahun 2020 tanpa sebarang pencapaian penting berbanding negara-negara jiran, kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata, pandemik Covid-19 tidak lagi boleh dijadikan alasan untuk ekonomi negara terus pegun dan terencat kerana sehingga kini tidak ada sesuatu yang meyakinkan menjelang 2021.
Justeru katanya, Malaysia mesti segera mempunyai kerajaan yang stabil, Kabinet yang progresif dan dasar ekonomi yang ‘revolutionary’.
"Malaysia, pada tahun 2020, menyaksikan pelbagai drama politik yang terus menyuramkan lagi iklim pelaburan. Pandemik Covid-19 terus meletakkan ekonomi Malaysia pada kemelesetan terparah dalam sejarah.
"Tiga minggu dari sekarang, akan menyinsinglah fajar 2021. Kita akan mengakhiri tahun 2020 dengan tiada pencapaian penting, apatah lagi lonjakan baru untuk kemajuan dan kebolehsaingan.
"Negara jiran seperti Indonesia, Vietnam, Thailand dan Cambodia terus menunjukkan pencapaian ekonomi yang berdaya saing, menarik pelaburan teknologi dan menjadi negara perindustrian yang penting. Singapura pula memecut laju meninggalkan Malaysia jauh ke belakang," katanya dalam satu kenyataan di hantaran Facebook, hari ini.
Kenyataan itu antara lain menyentuh tentang kejayaan Indonesia yang berjaya menarik pelaburan dalam angka beberapa bilion daripada Facebook, Google and Microsoft dalam pelbagai perniagaan internetnya pada tahun 2020 meskipun berdepan pandemik Covid-19 yang meruncing.
Mohamad berkata, Gojek, Tokopedia dan Bukalapak antara yang menerima pelaburan signifikan dalam bulan November 2020, dalam angka ratusan juta USD (AS$) memetik laporan Nikkei Asia.
"Ekonomi digital Indonesia telah berkembang lima kali ganda semenjak 2015. Ia kini dianggarkan bernilai 44 Billion USD (AS$44 bilion) pada 2020 dan akan mencapai 125 Billion USD (AS$125 bilion) pada 2025. Menjelang tahun 2025, Indonesia akan menjadi ekonomi kelima terbesar dunia," katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, sesuatu mesti dilakukan segera membolehkan Malaysia segera menjadi yang terbaik semula di Asia Tenggara tanpa berlengah.
Ujarnya, agenda reset ekonomi mesti segera beralih kepada pertumbuhan yang berganda, pelaburan bermutu dalam sektor teknologi dan innnovatif serta membuka pasaran dengan lebih agresif.
"Malaysia bermula dengan ekonomi perindustrian berorentasi eksport. Sekarang sektor perindustrian kita sangat jauh terkebelakang. Malaysia pada hemat saya 'is experiencing premature deindustrialization'.
"Sektor pertumbuhan baru seperti ekonomi digital, perbankan dan kewangan pula, terus malar tanpa impetus pertumbuhan radikal.
"Malaysia telah membuang banyak masa dan peluang tahun ini. Kita mesti meraikan kedatangan tahun 2021 dengan ‘a bold, robust and inclusive economic agenda’,"katanya.