NILAI - Misteri kehilangan seorang lelaki yang juga Orang Asli sejak dua hari lalu akhirnya terjawab, apabila mayatnya ditemui tersembam di dalam parit di Perkampungan Orang Asli Kampung Kedat, Mantin di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata, mangsa, Ajis Ujang, 55, ditemui meninggal dunia di tempat kejadian bersama motosikalnya yang dipercayai terbabas sebelum terjatuh ke dalam parit tersebut.
Iklan
Iklan
"Kehilangan lelaki itu disedari anaknya yang membuat laporan polis berkenaan ayahnya tidak pulang ke rumah sejak dua hari lalu. Bagaimanapun, mayat ayahnya kemudian ditemui kira-kira jam 6.30 petang di dalam parit bersama motosikalnya.
"Pemeriksaan awal pada tubuh badan mangsa mendapati tiada kesan kecederaan berunsur jenayah mahu pun khianat dan mayat dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk bedah siasat,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.
Menurutnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut selepas laporan bedah siasat menyatakan punca kematian akibat kerosakan hati yang teruk.