WASHINGTON - Jumlah Muslim Amerika bertanding untuk jawatan politik di Amerika Syarikat (AS) pada 2020 telah mencipta rekod baharu.
"Seramai 170 calon Muslim menyertai pemilihan pada kali ini di 28 negeri dan Washington,” menurut laporan Majlis Hubungan Amerika-Islam (CAIR), pertubuhan hak awal Muslim, Jetpac dan pertubuhan melatih bakal ahli politik, MPower Change.
Difahamkan, seramai 62 daripada 170 calon menang untuk merebut jawatan politik berbanding 57 orang pada 2018.
Pengarah Eksekutif Kebangsaan CAIR, Nihad Awad berkata, laporan itu adalah bukti kepada masa depan Muslim Amerika dalam bidang politik.
"Calon yang bertanding biasanya bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk menyemai perubahan politik dalam komuniti mereka dan mencari keadilan untuk semua. Perjuangan kami untuk Amerika lebih inklusif belum berakhir.
"Kami akan terus memberi inspirasi kepada lebih ramai Muslim Amerika untuk bertanding dan memastikan suara kami didengari di seluruh peringkat kerajaan,” ujarnya.
Menurutnya, kebanyakan calon berjaya dalam misi mereka kerana berhempas-pulas berkempen untuk memperjuangkan masa depan yang adil dan bebas untuk seluruh komuniti Muslim.
"Ia jelas menunjukkan peningkatan pesat kuasa politik Muslim Amerika di seluruh negara. Mereka turut menghapuskan persepsi negatif terutamanya Islamofobia yang semakin meningkat,” jelas Pengarah Jetpac, Mohammed Missouri dalam satu kenyataan.
Laporan itu juga menunjukkan rakyat Amerika tidak hanya memberi fokus kepada Pilihan Raya Presiden AS 2020 malah mereka juga menggunakan hak masing-masing untuk memilih calon Islam di peringkat tempatan bagi melakukan perubahan dalam komuniti.
Bulan lalu, CAIR melaporkan lebih sejuta penduduk Muslim Amerika mengundi yang turut mencipta rekod baharu dan majoriti memilih Joe Biden pada Pilihan Raya Presiden AS 2020.
Dalam perkembangan berkaitan, keputusan kaji selidik dilakukan The Washington Post mendapati hanya 26 daripada 249 anggota Republikan di Kongres mengakui kemenangan bakal Presiden ke-46 AS, Joe Biden.
Dua anggota Kongres, Mo Brooks dan Paul Gosar menyatakan mereka tidak akan menerima keputusan yang berpihak kepada Biden dan turut mendakwa kononnya terlalu banyak bukti berlaku penipuan undi pada pemilihan tersebut.
Sehingga kini, tiada bukti menyokong tuduhan sama yang turut dilemparkan Trump di beberapa negeri yang kini bertukar tangan kepada Demokrat dan beliau hanya memenangi satu tuntutan undang-undang manakala 46 tuduhan berkaitan penipuan undi yang lain ditolak mahkamah.- Agensi