MERAK JALANAN tergelak besar bila lihat satu video yang tular di media sosial mengenai kemunculan seekor khinzir di sebuah premis menjual pakaian sukan di pusat beli-belah di Putrajaya semalam.
Betul-betul kelakar. Khinzir atau babi ini macam tahu saja Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Putrajaya sudah ditamatkan, jadi dia pun tidak sabar hendak pergi shopping!
Bila sebut pasal khinzir, Merak Jalanan teringat isu yang sedang hangat sekarang ini iaitu kegiatan kartel daging tipu label halal.
Ramai yang ingat daging khinzir. Sebenarnya bukan daging khinzir tapi daging sejuk beku yang diseludup dari China, Brazil, Australia, Ukraine dan Argentina dan kemudiannya dibungkusnya semula dengan produk halal dari Australia dan dicop menggunakan cop halal palsu. Merak Jalanan ucap tahniah kepada wartawan Sinar Harian yang membongkar kegiatan itu.
Haram tetap haram walaupun ada logo halal yang ditampal tanpa pengesahan Jakim. Ramai yang resah gelisah. Soal halal dan haram makan bukan isu kecil terutama bagi umat Islam.
Islam memberikan perhatian yang sangat tinggi terhadap makanan halal, haram atau syubhah (meragukan).
Pengambilan makanan syubhah dan haram akan memberi kesan besar terhadap pembangunan kerohanian, di samping menjejaskan pembentukan akhlak.
Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya’ Ulumuddin menegaskan setiap orang Islam perlu mengutamakan sesuatu yang halal, menghindari sesuatu yang haram dan menjauhi setiap yang syubhah.
Merak Jalanan terfikir, mungkin sebab makanan inilah menyebabkan ramai rakyat Malaysia rosak hati dan fikiran mereka.
Mungkin tidak makan daging haram tapi ramai yang makan rasuah. Makan rasuah inilah yang menyebabkan negara jadi musnah!