Produktiviti ketika krisis

Iklan

KEGAWATAN ekonomi dan krisis kesihatan akibat pandemik Covid-19 yang berterusan memaksa banyak syarikat memperkenalkan kerja telekomunikasi dan bekerja dari rumah secara besar-besaran.

Ini juga menjadi pemangkin penggunaan dan amalan teleworking yang lebih meluas setelah krisis dengan pelbagai kesan yang tidak menentu terhadap produktiviti dan petunjuk lain

Iklan
Iklan

Dalam krisis begini, semua pihak perlu mencari jalan keluar bagi mengatasi pelbagai masalah kehidupan.

Seorang peniaga kini tidak boleh terlalu bergantung kepada pemasaran secara konvensional. Penggunaan jualan dalam talian dan telekomunikasi menjadi pilihan utama masa kini.

Iklan

Sekolah dan pusat pengajian tinggi ditutup. Namun pembelajaran perlu diteruskan dengan pendekatan online dan pendidikan jarak jauh.

Walaupun banyak rintangan yang dihadapi, namun kita perlu melakukan semua tugasan dan kerja serta rutin melalui normal baharu. Kita sebenarnya masih lagi perlu produktif dan berperanan menyumbang kepada pembangunan negara.

Iklan

Pada masa sama, pandemik Covid-19 juga telah memberi impak yang besar kepada emosi. Ramai yang terkesan secara psikologi dek kerana kehilangan pekerjaan dan pengurangan pendapatan.

Persoalan yang timbul adalah sejauh mana kita bersedia berhadapan dengan normal baharu yang lebih cenderung menggunakan pendekatan telekomunikasi dan perniagaan dalam talian?

Kerja melalui telekomunikasi yang lebih meluas dalam jangka masa panjang berpotensi untuk meningkatkan produktiviti dan pelbagai petunjuk ekonomi dan sosial lain.

Namun kesan keseluruhannya masih samar dan membawa risiko terutamanya untuk inovasi dan kepuasan pekerja.

Bagi meningkatkan keuntungan daripada kerja telekomunikasi yang lebih meluas untuk produktiviti dan inovasi, pembuat dasar mestilah mempromosikan penyebaran amalan terbaik pengurusan, kemahiran mengurus diri dan ICT, pelaburan di pejabat rumah serta jalur lebar yang pantas dan boleh dipercayai di seluruh negara.

Demi meminimumkan risiko kerja telekomunikasi yang lebih meluas serta membahayakan inovasi jangka panjang dan penurunan kesejahteraan pekerja, pembuat dasar harus memastikan bahawa kerja telekomunikasi tetap menjadi pilihan dan tidak ‘berlebihan’.

Polisi menangani cabaran ini dapat membantu memaksimumkan potensi peningkatan produktiviti daripada kerja telekomunikasi yang berkesan sambil melindungi pekerja daripada kesan sampingan negatif dan menjamin inovasi dalam jangka panjang.

Selain peningkatan produktiviti, polisi seperti itu juga menjanjikan faedah tambahan untuk pelbagai faedah lain seperti menyumbang kepada kesetaraan gender, meningkatkan peluang pekerjaan di kawasan luar bandar dan bandar.

Kemampuan

Usaha perlu dilakukan bagi merangsang pelaburan ke dalam infrastruktur komunikasi, misalnya untuk memperluaskan rangkaian penyedia jalur lebar, untuk meningkatkan kemampuan dan ketahanan infrastruktur komunikasi.

Dalam masa sama, usaha mempercepat penyebaran infrastruktur komunikasi yang diperlukan untuk kerja telekomunikasi melalui sokongan kewangan secara bersyarat dan bersasar untuk peningkatan ICT untuk mendorong syarikat melaksanakan kerja telekomunikasi amat diperlukan terutamanya dalam kalangan pekerja yang kurang mahir melakukan kerja telekomunikasi.

Bagi meningkatkan produktiviti terutamanya di luar bandar, mempromosikan pendidikan dalam talian perlu diutamakan untuk memberikan peluang latihan agar tidak ketinggalan dalam arus pemodenan dalam alaf baharu ini.

Selain menggalakkan perkongsian amalan pengurusan terbaik melalui kempen maklumat dan merangsang pelaburan dalam latihan pengurusan, pihak kerajaan juga perlu menyediakan dana penyelidikan yang relevan.

Hakikatnya, walau apa keadaan setiap individu berfikir dan bertindak bagi menghasilkan produk atau penghasilan bagi memastikan kelangsungan hidup, kita perlu berazam untuk terus produktif walaupun terpaksa melakukan sesuatu dalam keterbatasan.

Kita perlu membuat pilihan yang bijak secara berterusan dengan tenaga, fokus dan masa supaya kita boleh memaksimumkan penggunaan potensi kita untuk mencapai hasil yang bermanfaat.

* Profesor Datuk Dr Ismail Sualman ialah Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara