SHAH ALAM - Pengusaha bas bersyukur apabila rentas negeri dan daerah dibenarkan seluruh negara kecuali di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 7 Disember.
Timbalan Presiden Pertubuhan Gemilang Agensi Pelancongan dan Pengusaha Bas Malaysia (Gapp Bas Malaysia), Wan Shairi Wan Ahmad berkata, banyak tempahan bas sebelum ini terpaksa dibatalkan kerana larangan rentas negeri akibat peningkatan ke Covid-19.
Menurutnya, mereka menerima banyak tempahan terutamanya keluarga besar yang ingin menghadiri majlis perkahwinan ketika kerajaan memberi kelonggaran untuk merentas daerah dan negeri sebelum ini.
"Pelanggan kami terdiri daripada mereka yang ingin menyambut hari keluarga, menghadiri majlis perkahwinan, percutian tahunan syarikat bersama staf, lawatan terbuka yang mana mereka akan menyediakan pakej tertentu percutian ke Pulau Langkawi, Cameron Highlands dan sebagainya.
"Ada juga kumpulan yang menempah bas untuk pulang ke kampung beramai-ramai terutama pulang ke Pantai Timur, namun semuanya terpaksa dibatalkan,” katanya.
Wan Shairi menjelaskan proses tempahan bas mereka menggunakan konsep future booking iaitu pelanggan perlu memaklumkan sekurang-kurangnya sebulan lebih awal jika ingin menempah perkhidmatan itu.
"Namun bila Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dijalankan secara mengejut, ramai pelanggan membatalkan tempahan menyebabkan kami terpaksa menanggung kerugian yang besar,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.
Wan Shairil berkata, pihak mereka sudah mula mempromosikan perkhidmatan bas di media sosial dan menghubungi pelanggan-pelanggan sebelum ini sebaik rentas negeri dan daerah dibenarkan.
"Kami akui peningkatan tidak akan berlaku secara drastik kerana masih ramai rakyat yang takut untuk keluar terutama musim pandemik Covid-19.
"Kami harap semua orang sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerana jika kes Covid-19 meningkat kembali, perniagaan kami akan terjejas semula,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Norma Travel & Tours Sdn Bhd, Kamal Ariffin juga menarik nafas lega menerima khabar baik tersebut.
"Semasa PKPB berlangsung, kami menanggung kerugian hampir mencecah 100 peratus kerana tiada siapa ingin menggunakan perkhidmatan bas.
"Kos operasi sahaja sudah mencecah RM50,000, itu belum masuk membayar gaji pemandu dan kos-kos lain,” katanya semalam.
Mengenai peningkatan pelanggan yang mungkin ke Terengganu setelah mendengar pengumuman rentas negeri itu, Kamal berkata, masih belum ada pelanggan dari luar negeri Terengganu yang membeli tiket ke sana.
"Jadual penerbangan di Terengganu sebelum ini hanya dua penerbangan sehari. Tapi selepas pengumuman semalam (kelmarin), sudah ada lima penerbangan dari Kuala Lumpur ke Terengganu yang dijadualkan esok (hari ini).
"Mungkin mereka yang dari luar Terengganu masih takut untuk keluar dalam keadaan kes Covid-19 yang tidak menentu ini,” katanya.
Kelmarin, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sidang khas bersetuju sekatan rentas daerah dan negeri di seluruh negara adalah dibenarkan kecuali bagi kawasan PKPD.