TUARAN - Mayat seorang pemancing ditemukan kira-kira 300 meter dari lokasi bot dinaikinya yang karam di muara Sungai Bolong, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.28 petang, mayat Manji Bakal, 50, ditemukan penduduk kampung yang mencarinya selepas operasi mencari dan menyelamat dilakukan di kawasan itu.
Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, pihaknya menerima laporan bahawa mayat seorang mangsa dikhuatiri lemas ditemukan tidak jauh dari lokasi.
"Hasil pemeriksaan, mangsa yang juga pemandu serta pemilik bot itu ditemukan dalam jarak 300 meter dari lokasi bot karam.
"Ketika ditemukan, mangsa didapati tidak memakai jaket keselamatan dan mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Hospital Tuaran," katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Hamizi berkata, bot yang dinaiki mangsa turut ditemukan dan mayat mangsa akan dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian.
Terdahulu, Mohd Hamizi memaklumkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian bot karam pada jam 9.30 pagi semalam yang membabitkan empat mangsa.
"Hasil keterangan daripada mangsa yang terselamat, bot itu mereka sewa untuk tujuan memancing dan berlepas dari jeti Kampung Simpangan namun ketika dalam perjalanan menuju ke muara sungai, bot mereka dipukul ombak sebanyak tiga kali menyebabkan enjin bot terlanggar beting pasir dan karam.
"Akibat kejadian itu, tiga mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke kawasan pesisir pantai dan dibawa ke hospital untuk menerima rawatan susulan manakala seorang lagi hilang dikhuatiri lemas," katanya.
Sinar Harian semalam melaporkan seorang lelaki dikhuatiri lemas manakala tiga lagi selamat selepas bot yang mereka naiki dipukul ombak dan terbalik dalam kejadian itu.