Isu Perak: Muafakat Nasional adakan mesyuarat malam ini

Iklan
Annuar Musa

KUALA LUMPUR - UMNO, Barisan Nasional (BN) dan Muafakat Nasional akan mengadakan mesyuarat bermula malam ini bagi membincangkan situasi pembentukan kerajaan negeri Perak.

Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa berkata, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO akan diadakan malam ini diikuti dengan mesyuarat Dewan Tertinggi BN malam esok.

Iklan
Iklan

"Malam lusa (Rabu) Jawatankuasa Perundingan Muafakat Nasional (bermesyuarat). Berunding itu lebih baik, Majlis Presiden Perikatan Nasional (PN) juga patut bertemu.

"Selesaikanlah dengan cara baik sebagai rakan seperjuangan. Teguh kita, menang bersama... InsyaALLAH,” katanya menerusi posting akaun Twitter miliknya hari ini.

Iklan

Terdahulu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak Datuk Saarani Mohamad mengesahkan kehadiran beliau ke mesyuarat MKT UMNO malam ini.

Mesyuarat berkenaan akan dipengerusi Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan dijangka memberi fokus kepada situasi pembentukan kerajaan negeri Perak.

Iklan

Saarani yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan dikatakan antara calon Menteri Besar Perak daripada UMNO bagi menggantikan ADUN Chenderiang Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Jumaat lepas, ketika persidangan DUN Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden Bersatu gagal memperoleh undian majoriti dalam usul undi kepercayaan terhadapnya dan meletak jawatan menteri besar secara rasmi pada hari berikutnya.

Semalam, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pucuk pimpinan Pas akan membincangkan isu pembentukan kerajaan baharu negeri Perak bagi menentukan sama ada parti itu akan terlibat atau sebaliknya. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN UMNO sedia kerjasama PH bentuk kerajaan di Perak

'Jangan terlalu cepat rai penyingkiran saya'

Saarani hadir mesyuarat khas MT UMNO malam ini