SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Pemuda UMNO memaklumkan bahawa pihaknya sudah menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tunku Alizakri Alias berhubung syarat pengeluaran akaun satu KWSP menerusi program i-Sinar.
Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau telah meminta Alizikri supaya memansuhkan semua kriteria yang ditetapkan bagi permohonan i-Sinar agar pencarum mudah untuk mengeluarkan wang simpanan mereka.
"Insya-ALLAH, beliau respons, jawab dengan baik dan positif untuk bawa isu ini serta akan berbincang lanjut dengan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengenainya.
"Doakan agar ada natijah yang positif untuk rakyat,” katanya dalam satu komen di hantaran Facebook beliau hari ini.
Sementara itu, rata-rata netizen turut memberikan komen positif terhadap usaha Asyraf Wajdi dalam mempertahankan suara rakyat.
Terdahulu, KWSP mengumumkan dua kategori ahli yang layak mengeluarkan wang simpanan akaun satu menerusi program i-Sinar itu.
Bagi kategori pertama, ia melibatkan ahli KWSP yang sudah lama tidak mencarum, yang hilang pekerjaan, suri rumah atau diberi notis cuti tanpa gaji.
ARTIKEL BERKAITAN: Pengeluaran i-Sinar tidak bersyarat hanya kriteria: KWSP
Kategori kedua pula adalah untuk ahli KWSP yang masih bekerja tetapi mengalami pengurangan pendapatan keseluruhan sebanyak 30 peratus dan ke atas.
Namun syarat itu menyebabkan rata-rata rakyat Malaysia kecewa serta menyifatkan syarat KWSP tersebut terlalu ketat terutama bagi kategori kedua, sekali gus menyukarkan pencarum mengeluarkan wang simpanan mereka.