KEPALA BATAS - Seorang pesara berputih mata apabila wang simpanannya sebanyak RM124,000 lebur akibat terperdaya dengan penipuan Macau Scam.
Dalam kejadian pada 22 November lalu, mangsa berusia 71 tahun dan berasal dari Kampung Permatang Tinggi di sini menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang menyamar sebagai wakil Telekom Malaysia kerana didakwa mempunyai tunggakan bil.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa menafikan perkara itu, namun panggilannya disambungkan kepada 'Sarjan Juhairi' dan 'Inspektor Herman' dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, warga emas itu diberitahu yang dia terlibat kes pengubahan wang haram dan diarahkan untuk memberikan kesemua maklumat akaun bank bagi tujuan audit dan siasatan.
"Mangsa juga diminta untuk membuat bayaran ke dalam empat akaun bank diberi berjumlah RM101,000 secara berperingkat.
"Wang terbabit kononnya untuk bayar kos peguam dan dia juga menyedari wang dalam akaun Bank Islam miliknya berkurangan sebanyak RM23,000,"katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.
Noorzainy berkata, mangsa menyedari ditipu apabila dia masih diminta membuat bayaran tambahan lagi kepada mereka.
Kesal dengan apa yang berlaku, mangsa kemudian tampil membuat laporan polis semalam.
"Walaupun kes seperti ini sering dilaporkan berlaku, namun masih ada yang terperdaya dengan tipu muslihat sindiket.
"Masyarakat diingatkan supaya sentiasa berwaspada dengan panggilan telefon daripada orang yang tidak dikenali. Jangan sesekali memberikan sebarang maklumat peribadi atau bank kepada pihak yang meragukan," katanya.