KEPALA BATAS - Tiga lelaki ditahan polis kerana dipercayai terlibat dengan kes mencuri beberapa ekor ikan laga jenis Betta yang dianggarkan bernilai RM500 di sebuah rumah di Kampung Aman di sini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, tangkapan itu dibuat susulan polis menerima laporan daripada seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang memaklumkan kehilangan ikan laga miliknya pada Rabu lalu.
Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, ibu saudara mangsa ternampak tiga lelaki berkenaan masuk ke dalam kawasan rumah remaja terbabit dengan membawa sauk ikan dan beberapa ekor ikan laga.
"Selepas ditegur ibu saudara remaja itu, mereka semua kemudiannya melarikan diri.
"Melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV), terdapat tiga lelaki memakai topi keledar menceroboh masuk ke dalam rumahnya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Noorzainy berkata, hasil siasatan, polis menahan ketiga-tiga suspek berusia 19, 22 dan 36 tahun yang turut terbabit dengan kegiatan mencuri pokok bonsai baru-baru ini.
Menurutnya, polis turut merampas semua ikan laga yang dicuri dan kesemua mereka ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.