KENYATAAN Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang tidak menolak kemungkinan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan negeri baharu di Perak menimbulkan tanda tanya tentang realiti sebenar hubungan politik parti Melayu terbesar itu dengan seteru politik mereka sejak sekian lama, DAP.
Selepas Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama-sama seluruh barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri rentetan kegagalannya memperoleh sokongan dalam usul keyakinan ahli Dewan terhadap Menteri Besar dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), UMNO yang merupakan parti paling dominan dengan 25 kerusi dikatakan bakal menerajui gabungan politik baharu.
Persoalan pertama, parti manakah yang akan bersama UMNO menerajui Perak memandangkan pada ketika ini lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan tiga ADUN Pas masih berteka-teki untuk menyatakan sokongan mahupun tidak.
Politik kuasa
Jika situasi itu berterusan, maka jalan yang harus dilakukan walaupun perit untuk ditelan, UMNO terpaksa bekerjasama dengan PH untuk meraih jumlah kerusi yang benar-benar kukuh iaitu sebanyak 49 daripada 59 kerusi.
Persoalan kedua, adakah UMNO sanggup mengenepikan permusuhan sejak sekian lama untuk bersama DAP dan adakah percaturan baharu itu akan dapat diterima para penyokongnya?
"Dalam politik ini tiada istilah maaf-memaafkan. Dalam politik ini hanya mahukan kuasa. DAP nak perjuangkan orang Cina, UMNO pula menuntut kepentingan orang Melayu. Terpulang kepada pemimpin masa itu nak selesaikan kepentingan kaum masing-masing.
"Begitu juga MCA dan Gerakan. Mereka juga mahu memperjuangkan hak dan kepentingan orang Cina. Jadi sama sahaja. Kalau UMNO berkawan dengan MCA, apa beza UMNO berkawan dengan DAP?” soal Naib Canselor Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Profesor Tan Sri Nordin Kardi kepada Sinar Harian semalam.
Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming sendiri memaklumkan kepada media menerusi aplikasi WhatsApp kelmarin menjelaskan PH bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana parti termasuk UMNO bagi membentuk sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil di Perak.
Namun, Kor Ming ketika dihubungi bagi mendapatkan penjelasan selepas mengambil kira kenyataan Ahmad Zahid itu, beliau hanya memberi jawapan:"Tiada komen. Sekarang tiada lagi. Terima kasih.”
Apa yang berlaku di Perak, andai UMNO menjalinkan ‘cinta’ baharu bersama DAP demi kuasa bukanlah satu kejutan kerana senario politik negara hari ini telah dipersembahkan dengan pelbagai perkara mustahil.
Antaranya persahabatan semula Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam PH dan gabungan UMNO dengan Pas dalam pembentukan Muafakat Nasional, demi menghalalkan misi politik masing-masing.
"Perak ini sudah jadi seperti bahan eksperimen di Malaysia. Pada saya tiada salahnya untuk bereksperimen sekali lagi. Macam yang dikatakan UMNO-DAP bekerjasama.
"Saya tengok apa yang penting kedua-dua pihak mempunyai keperluan untuk kebarangkalian memulakan perbincangan. Kedua-dua pihak dalam keadaan kuat. UMNO ada 25 kerusi dan DAP ada 16 kerusi,” tambah Nordin.
Syarat
Bagi Yang Dipertua Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Perak, Datuk Shaharudin Abd Jabar, beliau merestui sekiranya UMNO perlu bergabung dengan parti lawan terutamanya DAP andai partinya itu ingin menunjukkan kekuatan di Perak.
"Kalau UMNO nak memerintah di Perak, nak bergabung dengan siapa sahaja, bergabunglah. Syaratnya UMNO jangan mengkhianati bangsanya. Di akar umbi kita boleh jelaskan sebabnya (gabungan itu). Tak kan nak bagi pada mereka (Bersatu)? Kita dah bagi pada mereka dua kali.
"Kalau UMNO terpaksa bergabung dengan DAP, tiada pilihan untuk menegakkan kerajaan sementara, teruskanlah. Cuma kita harapkan kepada UMNO dan DAP, jadilah pemimpin untuk rakyat dan negara, bukan untuk kepentingan masing-masing,” katanya.
Dalam pemilihan jawatan Menteri Besar, sokongan majoriti ADUN adalah syarat penting bagi membolehkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah diberi keyakinan bahawa calon yang dikemukan mendapat sokongan majoriti.
Mengikut Perkara XVI (2) (a), Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan, Bahagian Pertama, mencatatkan:"Duli Yang Maha Mulia hendaklah mula-mula sekali melantik sebagai Menteri Besar pada mengetuakan Majlis Mesyuarat Kerajaan itu seorang ahli Dewan Negeri yang pada timbangannya boleh mendapat kepercayaan sebahagian besar ahli-ahli Dewan Negeri itu.”
Setakat ini, tiga nama telah dipertimbangkan untuk jawatan Menteri Besar Perak iaitu Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Kadir dan Adun Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya.
Secara asasnya, salah satu nama itu boleh diangkat sebagai MB baharu sekiranya mendapat sokongan besar ADUN walaupun tiada pembentukan gabungan politik baharu.
Namun bagi pakar perlembagaan yang juga pensyarah kanan Fakulti Sains Kemanusiaan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim, Dr Nizamuddin Alias, beliau berpendapat situasi itu tidak mungkin berlaku kerana sistem politik Malaysia adalah berdasarkan sistem politik parti.
"Walaupun ia tidak tercatat tetapi realitinya parti politik di Malaysia ini beroperasi mengikut sistem parti politik masing-masing. Perlembagaan tidak mengkhususkan ke arah itu tetapi kita harus mengharmonikan dengan realiti. Bukan semua dalam Perlembagaan itu ditulis
"Demokrasi Malaysia ini setakat pemerhatian saya tiada ada ADUN yang akan bertindak bersendirian daripada parti mereka. Jika ada, itu cari pasal dengan parti. Mungkin selepas ini mereka tidak akan dinamakan sebagai calon,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: UMNO sedia kerjasama PH bentuk kerajaan di Perak
Kami sedia bekerjasama dengan UMNO: PH Perak
Anwar restu kerjasama PH-UMNO bentuk kerajaan Perak