KUALA LUMPUR - Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM201 juta melalui Belanjawan 2020 untuk Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) kepada pekebun kecil di seluruh negara.
Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Getah (RISDA), Datuk Mohd Salim Mohd Sharif berkata, penerima bantuan itu membabitkan seramai 274,639 pekebun kecil RISDA dan 61,763 pekebun kecil Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS).
Menurutnya, penyaluran bantuan itu akan dilaksanakan oleh kedua-dua agensi terbabit.
"Kadar bantuan adalah sebanyak RM600 seorang yang akan diakaunkan ke akaun penerima yang telah didaftarkan dalam dua peringkat.
"Dua peringkat itu adalah RM300 ke akaun pekebun kecil mulai 7 Disember 2020 lalu dan RM300 pada Januari 2021,” katanya pada sidang akhbar Pengumuman Penyaluran BMT 2020 di Bangunan Parlimen di sini semalam.
Mengulas lanjut, Mohd Salim berkata, daripada sebanyak 237,207 permohonan yang diterima setakat ini, RISDA telah membuat bayaran sebanyak 85 peratus atau 202,717 kepada pekebun kecil dan penoreh getah dengan nilai peruntukan RM121.6 juta.
Katanya, bagi baki permohonan membabitkan seramai 34,490 pemohon pula akan disalurkan minggu depan.
"Bagi pekebun kecil yang masih belum menerima atau dalam proses permohonan, RISDA masih membuka permohonan sehingga 31 Disember tahun ini,” katanya.
Menurutnya, bilangan penerima terbanyak merupakan dari Sarawak iaitu seramai 58,048 orang diikuti Kelantan (49,328) dan Kedah (45,297).
Sementara itu, mengulas perkara sama, Mohd Salim yang juga Ahli Parlimen Jempol berkata, pekebun kecil dan penoreh getah yang berdaftar dengan RISDA dan mengusahakan kebun getah dengan jumlah keseluruhan milikan tanah tidak melebihi 2.5 hektar layak menerima bantuan tersebut.
Katanya, bantuan itu diberikan kepada satu lot penerima sahaja sama ada pekebun kecil atau penoreh.
"Penyaluran BMT ini merupakan usaha dan keprihatinan kerajaan untuk mengurangkan beban pekebun kecil yang menghadapi penurunan produktiviti akibat musim tengkujuh.
"BMT juga memberi manfaat kepada ribuan pekebun kecil serta penoreh getah dalam kumpulan isi rumah berpendapatan rendah yang sangat terkesan apabila mereka kehilangan punca pendapatan pada musim tengkujuh dengan cuaca buruk berpanjangan,” katanya.
Tambahnya, melalui Belanjawan 2021 juga, kerajaan yang prihatin dengan situasi pekebun kecil akan meneruskan BMT bermula pada Disember 2021.