SEREMBAN - Selebriti terkenal, Nabil Ahmad menjalin kerjasama antara syarikat pengeluar kicap dan sos memasak tempatan, Mahsuri Food Sdn Bhd dan Al-Ikhsan Sports melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) membantu mangsa banjir di Kampung Kayu Ara, Mambau di sini.
Program CSR yang dilaksanakan ini akan memberi manfaat kepada 50 keluarga yang terjejas, serta tiga keluarga yang juga penerima zakat tempatan.
Pengurus Komersial Mahsuri Food Sdn Bhd, Mohd Jazri Ikmal Hijaz berkata, beliau bersama Al-Ikhsan Sports, Raudhatul Momtazz dan SAbumbung sepakat menyumbangkan sedikit sumbangan bagi mendapatkan dana untuk program CSR itu.
"Bagi program ini kita memperuntukkan sumbangan sebanyak RM25,000 di mana setiap mereka menerima sumbangan keperluan yang bernilai RM500.
"Setiap keluarga menerima barangan keperluan rumah sumbangan Pasukan CSR sukan Al-Ikhsan, salinan al-Quran dari Raudhatul Momtazz, baju melayu, jubah dan kurta untuk setiap ahli keluarga dari SAbumbung serta keperluan makanan asas termasuk kicap Mahsuri dan sos memasak Mahsuri,” katanya ketika ditemui semasa program penyampaian bantuan CSR mangsa banjir di Kampung Batu 3 Mambau dekat sini semalam.
Hadir sama, Ketua Pengurus Al-Ikhsan Sports, Anwar Mamtaj dan pendakwah bebas bertauliah, Ustaz Ehsan Hakim mewakili Raudhatul Momtazz.
Tambahnya, melalui program ini ia dapat memberi peluang kepada Al-Ikhsan Sports, Nabil dan Mahsuri untuk memberi khidmat kembali kepada masyarakat.
Sementara itu, Nabil ketika ditemui melahirkan rasa teruja apabila dapat bersama-sama membantu mangsa banjir di kampung kelahirannya.
Katanya, walaupun sumbangan bantuan agak lambat namun hasrat tetap diteruskan demi membantu orang kampungnya.