KOTA KINABALU - Rakyat Sabah terkilan dengan Belanjawan 2021 berkaitan dana pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo di negeri ini, kata Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Sri Bung Moktar Radin.
Menurutnya, peruntukan pakej pembinaan lebuh raya itu tidak menunjukkan ia akan menjadi realiti apabila hanya sekitar 25 peratus dapat dilaksanakan di Sabah berbanding sekitar 60 peratus di Sarawak.
"Jika peruntukan hanya RM460 juta untuk satu pakej sudah tentu hasrat rakyat Sabah untuk menikmati sebuah lebuh raya yang lebih baik dan selesa tidak akan menjadi realiti, tetapi ini akan menjadi mimpi ngeri (nightmare)," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa Kementerian Kerja Raya di dewan Rakyat semalam.
Bung Moktar yang merupakan Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, kemajuan pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah tidak memperlihatkan perkembangan positif terutama ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan disokong kerajaan Parti Warisan Sabah (Warisan) sebelum ini yang telah membatalkan pinjaman mudah antara faktor kenapa perkembangan pembinaan lebuh raya ini menjadi lembab.
"Keadaan jalan raya di Sabah amat menyedihkan berbanding dengan negeri lain dan lebih malang semasa kerajaan Warisan memerintah mereka tidak melakukan sesuatu untuk penambahbaikan sistem perhubungan jalan raya di negeri ini," katanya.
Sehubungan itu, Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya Sabah mencadangkan kepada kerajaan Pusat agar membenarkan kerajaan negeri menjalankan seluruh pakej Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah secara Inisiatif kewangan swasta (PFI) agar projek ini dapat diteruskan tanpa sebarang masalah.
"Rakyat Sabah berhak menikmati lebuh raya yang lebih baik dan selesa seperti yang dinikmati oleh rakyat di negeri lain," katanya.