Wasiyyah lancar sistem latihan dalam talian

Iklan
Ariffin Sabirin

WASIYYAH Shoppe Berhad, syarikat amanah patuh syariah terbesar di Malaysia dengan nilai aset pelanggan yang akan dibantu urus mencecah nilai RM35 bilion, hari ini melancarkan sistem latihan dalam talian bagi perundingnya.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ariffin Sabirin, permintaan yang semakin tinggi dari perunding kewangan dan juga orang awam yang berminat untuk menyertai Wasiyyah Shoppe sebagai perunding serta aspek penjarakan sosial yang menjadi satu keperluan di dalam musim pandemik Covid-19 ini, menyebabkan wujudnya kekangan untuk mengadakan latihan secara fizikal seperti yang diamalkan syarikat sebelum ini

Iklan
Iklan

"Kewujudan sistem ini membolehkan perunding kami menyertai program latihan secara dalam talian tanpa hadir latihan secara fizikal atau bertemu dengan kami. Pendaftaran sebagai perunding boleh dibuat secara dalam talian. Mereka juga boleh memilih modul latihan mana yang mereka ingin sertai dan melalui modul-modul latihan ini pada bila-bila masa yang mereka berkelapangan di rumah sendiri,” ulas Ariffin.

Jika kaedah latihan secara fizikal yang diamalkan sebelum ini hanya mampu melatih 400 orang perunding sebulan, dengan pelancaran sistem dalam talian ini, Wasiyyah Shoppe menjangkakan seramai 2,000 orang perunding boleh dilatih setiap bulan.

Iklan

Semenjak pandemik Covid-19 melanda Malaysia pada Mac 2020, Wasiyyah Shoppe berdepan dengan situasi di mana terdapat lonjakan permintaan dari masyarakat Malaysia ke atas perkhidmatan perancangan hartanya. Peningkatan permintaan ini juga menyebabkan permintaan untuk menjadi perundingnya juga meningkat secara mendadak.

Permintaan masyarakat yang semakin tinggi untuk perkhidmatannya menyebabkan Wasiyyah Shoppe memerlukan lebih ramai perunding di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak. Sebagai syarikat pertama di dalam industri perancangan harta secara syariah yang mewujudkan peluang keusahawanan secara sistematik di dalam bidang ini semenjak tahun 2004, Wasiyyah Shoppe telah membina pelbagai modul latihan yang mampu menjadikan perundingnya cekap dari segi teknikal undang-undang syariah dan sivil berkaitan dengan isu-isu pewarisan harta orang Islam.

Iklan

Ariffin juga menambah bahawa Wasiyyah Shoppe ialah syarikat yang berorientasikan pengetahuan dan kerana itu memberi tumpuan yang sangat serius kepada aspek latihan perundingnya. Wasiyyah Shoppe sentiasa menekankan betapa perundingnya mestilah membawa maklumat yang jelas, tepat dan telus kepada masyarakat dalam urusan penghartaan. Pelancaran sistem latihan dalam talian ini diyakini dapat membantu aspek latihan ini.

"Perunding Wasiyyah Shoppe yang telah menjalani latihan intensif kami, kini ada yang mampu menikmati pendapatan yang lumayan walaupun dalam keadaan ekonomi yang mencabar sekarang. Kerjaya ini adalah kerjaya kalis Covid-19,” tambah Ariffin.

Bagi menggalakkan penyertaan sebagai perunding, Wasiyyah Shoppe Berhad kini menawarkan diskaun pendaftaran 50 peratus sehingga 31 Disember 2020 kepada sesiapa yang mendaftar. Jika sebelum ini pendaftaran memerlukan fi RM800 dibayar bagi mendapat keistimewaan sebagai perunding, kini masyarakat hanya perlu membayar RM400 sahaja. Bagi penyertaan dari Sabah dan Sarawak pula, fi pendaftaran hanyalah RM250 sepanjang tempoh berkenaan. Masyarakat boleh merujuk laman web syarikat bagi maklumat lanjut.

Wasiyyah Shoppe menjangkakan pengenalan sistem ini dapat membantunya untuk memberi latihan secara sistematik kepada semua perundingnya di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak. Mulai tahun 2021, Wasiyyah Shoppe juga mensasarkan untuk membuka peluang keusahawanan ini kepada perunding dari negara luar selaras dengan strategi pengantarabangsaannya.

"Alhamdulillah di saat keadaan ekonomi yang semakin mencabar ketika ini, Wasiyyah Shoppe mencatatkan keuntungan yang semakin baik dari tahun ke tahun malah prestasi kewangan kami bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2020 meningkat 200 peratus berbanding keuntungan tahun kewangan sebelumnya,” ulas Ariffin.