IPOH - Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas negeri ini dipanggil menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta hari ini.
Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini berkata, pertemuan itu adalah atas perkenan baginda untuk mendengar sendiri pendirian mereka berhubung penubuhan kerajaan Perak yang baharu.
Menurutnya, pagi tadi Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi UMNO negeri, Datuk Saarani Mohamad telah menghadap Tuanku bagi memaklumkan perkembangan terkini keadaan politik Perak.
"Baginda menerima maklumat dan status terkini yang dipersembahkan dan adalah perlu diyakinkan bahawa perkara disembahkan itu dibuktikan terlebih dahulu.
ARTIKEL BERKAITAN: UMNO sudah cukup majoriti lantik MB: Ahmad Zahid
Kerjasama UMNO: DAP mahu bentuk kerajaan berbilang kaum
Pendirian Pas Perak selari dengan Pas Pusat
"Oleh kerana itu selanjutnya baginda Sultan telah menitahkan semua ADUN Bersatu dan Pas ini datang menghadap pada bila-bila masa hari ini," katanya kepada pemberita di pekarangan luar Istana Kinta hari ini.
Beliau berkata, istiadat angkat sumpah jawatan Menteri Besar Perak hanya akan dilaksanakan setelah baginda yakin ada parti yang mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.
"Jadi kita sedang menunggu wakil-wakil daripada kalangan ADUN Bersatu dan Pas untuk datang menghadap pada bila-bila masa dari sekarang," katanya.
Ahmad Zahid pagi tadi memaklumkan bahawa parti itu sudah mendapat sokongan majoriti bagi melantik Menteri Besar Perak yang baharu.
Pengerusi BN itu juga memberi bayangan bahawa pembentukan kerajaan baharu di Perak adalah hasil kesepakatan Perikatan Nasional (PN) antara UMNO, Bersatu dan Pas.
DUN Perak merangkumi 25 BN, DAP (16), Parti Amanah Negara (Amanah) (5), Bersatu (5), Parti Keadilan Rakyat (PKR) (3) dan Pas (3), manakala Gerakan dan Bebas masing-masing satu kerusi.
Selain ADUN Chenderiang, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; mereka yang mewakili Bersatu adalah ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin; ADUN Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi; ADUN Kuala Kurau, Datuk Abdul Yunus Jamahri dan ADUN Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim.
Sementara Pas, ADUN Gunung Semanggol, Razman Zakaria; ADUN Selama, Mohd Akmal Kamarudin dan ADUN Kubu Gajah, Khalil Yahaya.