Kutipan zakat Kedah 2021 dijangka menurun

Iklan
Ammar (tengah) bersama tetamu jemputan menunjukkan buku Pelan Strategik Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) 2021-2025 selepas pelancarannya di Menara Zakat di Alor Setar hari ini. Turut kelihatan Syeikh Zakaria (dua dari kiri).

ALOR SETAR - Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menjangkakan kutipan zakat di negeri tersebut akan menurun pada tahun 2021 kesan pandemik Covid-19 yang menjejaskan pendapatan banyak pihak.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LZNK, Syeikh Zakaria Othman berkata, kutipan zakat dalam beberapa sektor dijangka terjejas antaranya berkaitan dengan zakat perniagaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kutipan pada tahun ini masih belum nampak kesannya kerana bayaran zakat hanya dilakukan setelah cukup haul untuk tempoh setahun.

"Tetapi pada tahun depan, kita memang akan menjangkakan penurunan kutipan bayaran zakat.

Iklan

"Mungkin kesannya tidak begitu ketara untuk zakat pendapatan. Bagi zakat perniagaan dan lain-lain, memang kita jangkakan pengurangan. Sama ada kesannya besar atau tidak, itu belum dapat pastikan lagi," katanya selepas Pelancaran Pelan Strategik Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) 2021-2025 dan Penyerahan Pengiktirafan ISO di Menara Zakat, dekat sini hari ini.

Majlis perasmian telah disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim dan turut dihadiri Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang serta Dekan Pusat Pengajian Perniagaan Islam Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Muhammad Nasri Hussain.

Iklan

Sementara itu, Ammar yang juga Pengerusi LZNK berkata, umat Islam di negeri ini akan tetap menunaikan tanggungjawab untuk menunaikan zakat pada tahun depan walaupun berdepan Covid-19.

Jelasnya, ketelusan LZNK menguruskan wang zakat menjadi sebab pembayar zakat yakin dengan pengurusan lembaga zakat ini.

"Sebagai contoh, kalangan pembayar zakat dapat melihat secara masa nyata (real time) mengenai dari mana wang itu diperolehi dan ke mana wang mereka diagihkan melalui aplikasi 'Zakat On Touch' (ZOT).

"Melalui aplikasi itu, kita dapat melihat bagaimana pengurusan zakat ini yang dibuat secara telus benar-benar membantu golongan penerima," katanya.

Setakat hari ini, kutipan zakat di Kedah berjumlah RM187.97 juta manakala kutipan bagi sepanjang 2019 membabitkan RM207.213 juta.