Sidang Dewan Negara mohon dilanjutkan dua hari lagi

Iklan
Rais mempengerusikan mesyuarat hari ini bagi mengusulkan kepada Perdana Menteri untuk menambah hari persidangan Dewan Negara selama dua hari lagi.

KUALA LUMPUR – Dewan Negara hari ini bersetuju dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan untuk mengusulkan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Ketua Majlis supaya jumlah hari persidangan Dewan Negara ditambah dua hari sehingga 29 Disember ini.

Parlimen Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, Mesyuarat Penyelarasan dan Persiapan Mesyuarat Ke-3, Penggal Ke-3 yang dipengerusikan Presiden Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim hari ini bersetuju membuat usul tersebut bagi membolehkan lebih ramai ahli Dewan Negara mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Perbekalan 2021 serta urusan kerajaan lain.

Iklan
Iklan

"Bagi memanfaatkan sepenuhnya masa yang terhad, mesyuarat juga bersetuju meniadakan waktu rehat biasa semasa sesi perbahasan Dewan Negara, sama sebagaimana diamalkan Dewan Rakyat dengan waktu persidangan dari jam 10 pagi hingga 2 petang.

"Sepanjang sesi persidangan, semua prosedur operasi standard (SOP) akan dipatuhi sepenuhnya,” katanya hari ini.

Iklan

Menurut kenyataan itu lagi, bagi memastikan kelancaran persidangan Dewan Negara, Presiden Dewan Negara mengingatkan semua ahli agar perbahasan mestilah padat, berkualiti serta harus mempraktikkan akhlak dan budaya tinggi.

Mesyuarat yang diadakan secara dalam talian menggunakan aplikasi Zoom itu turut membabitkan Ahli Dewan Negara dari Sabah dan Sarawak.

Iklan

Turut hadir, ahli Dewan Negara; Majlis Senator; wakil Kementerian Kesihatan; wakil Majlis Keselamatan Negara serta wakil bomba.