Duti eksais rokok elektronik: Pengilang perlu kemuka permohonan lesen

Iklan
Di Malaysia, cecair elektronik yang mengandungi nikotin dan lain-lain bahan berada di bawah Jadual Racun adalah dikawal di bawah Akta Racun 1952 dan Akta Dadah Berbahaya 1952. Gambar kecil: ABDUL LATIF

PUTRAJAYA - Pengilang tempatan peranti rokok elektronik dan peranti rokok bukan elektronik perlu mengemukakan permohonan lesen di Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sebelum 15 Disember ini bagi penguatkuasaan duti eksais pada 1 Januari depan.

Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, turut perlu mengemukakan permohonan adalah cecair atau gel rokok elektronik termasuk cecair atau gel vape tanpa nikotin.

Iklan
Iklan

"Permohonan boleh dikemukakan kepada JKDM zon atau negeri di mana premis kilang dan gudang berada," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pengilang tempatan perlu dilesenkan di bawah Seksyen 20 Akta Eksais 1976 dengan bayaran lesen sebanyak RM4,800 setahun.

Iklan

"Bagi bayaran lesen gudang di bawah Seksyen 25 Akta Eksais 1976, ia adalah RM2,400 setahun," katanya.

Beliau berkata, pemegang lesen dikehendaki mematuhi syarat-syarat pelesenan dan mengemukakan jaminan bank untuk menjamin keselamatan hasil duti.

Iklan

"Antara dokumen yang perlu dibawa untuk tujuan pelesenan adalah surat permohonan lesen eksais, borang JKDM No. 1 yang lengkap diisi, sijil pendaftaran perniagaan atau syarikat di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau pihak berkuasa tempatan untuk Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan, pelan, serta pengakuan mengenai kandungan nikotin dalam cecair/gel rokok elektronik," katanya.

Pada 6 November lalu, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan, kerajaan akan mengenakan duti eksais pada kadar 10 peratus ke atas semua jenis peranti rokok elektronik dan bukan elektronik termasuk vape berkuat kuasa 1 Januari 2021.

Katanya, cecair rokok elektronik juga akan dikenakan duti eksais pada kadar 40 sen per milileter.