SHAH ALAM - Kerajaan memutuskan untuk menarik balik kelulusan penjualan aset tanah ladang kelapa sawit milik Tabung Haji Plantation Berhad (THP) kepada Tamaco Plantation Sdn Bhd pada Jumaat lalu.
Perkara itu disahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed (Ekonomi) dan Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (Hal Ehwal Agama) dalam satu kenyataan bersama hari ini.
"Berdasarkan situasi semasa dengan mengambil kira pelbagai faktor, maka pada 4 Disember 2020, kerajaan telah memutuskan bahawa keputusan ini ditarik balik untuk diteliti dengan lebih lanjut.
"Kami bertekad untuk terus memajukan THP dan Lembaga Tabung Haji dengan lebih berjaya dan gah dalam negara serta di persada antarabangsa.
"Kami berdoa dan bermunajat kepada-Nya semoga ALLAH SWT memberkati usaha kami dalam memartabatkan institusi TH," menurut kenyataan itu.
Terdahulu, kenyataan itu menjelaskan permohonan perolehan hartanah secara tidak langsung oleh Tamaco melalui langganan 100 peratus saham dalam Bumi Suria Ventures Sdn Bhd dan Maju Warisanmas Sdn Bhd daripada THP adalah tertakluk kepada Garis Panduan Perolehan Hartanah yang telah berkuat kuasa sejak 1 Mac 2014.
Katanya, garis panduan tersebut telah menetapkan bahawa sebarang permohonan perolehan tanah secara langsung atau tidak langsung yang mengakibatkan pengurangan pemilikan hartanah kepentingan bumiputera oleh bukan bumiputera adalah tertakluk kepada pemilikan sekurang-kurangnya 30 peratus kepentingan bumiputera.
"Berdasarkan ketetapan ini, surat kelulusan bertarikh 24 November 2020 telah dikeluarkan ke atas permohonan ini dengan pihak Tamaco hendaklah mewujudkan pemilikan ekuiti sekurang-kurangnya 30 peratus kepentingan bumiputera dalam tempoh satu tahun daripada tarikh surat kelulusan dikeluarkan.
"Kelulusan secara bersyarat ini diberi atas justifikasi yang telah diberikan oleh pihak THP demi kelangsungan operasi dan kestabilan kewangan syarikat," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda UMNO desak kerajaan campur tangan henti penjualan aset TH