Krisis di Perak: Muhyiddin, Abdul Hadi bertemu petang tadi

Iklan
Muhyiddin Yassin, Abdul Hadi

SHAH ALAM - Kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas dilaporkan mengadakan pertemuan petang tadi berkaitan kemelut politik di Perak.

Memetik laporan sebuah portal berita, pertemuan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan perkembangan terbaharu di Perak iaitu kegagalan mana-mana parti setakat ini memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan, seterusnya melantik menteri besar yang baharu di Perak.

Iklan
Iklan

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dilaporkan mengesahkan perkara itu namun enggan memperincikannya.

Beliau memetik sebagai berkata, perincian pertemuan berkenaan akan dimaklumkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam tempoh terdekat.

Iklan

"Sabar, nanti bila tiba masa, bos teman (Muhyiddin) akan maklumkan. Mana boleh saya mendahului. You (awak) fahamkan?

"Ampun maaf. Saya tak boleh mendahului pemimpin saya dalam pemakluman perkara dibincangkan. Saya percaya saudara faham kedudukan saya," menurut laporan itu.

Iklan

Dalam pertemuan itu, Ahmad Faizal mengiringi Muhyiddin bertemu dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung, Datuk Takiyuddin Hassan.

Turut hadir Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Sementara itu, menurut laporan itu juga, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menjelaskan, pertemuan itu bukan mesyuarat rasmi sebaliknya hanya pertemuan antara Presiden Pas dan Presiden Bersatu serta beberapa pemimpin tertentu.

Katanya, pertemuan tertutup berlangsung di Bangunan Parlimen, di sini kira-kira jam 2 petang itu membincangkan krisis politik di Perak susulan kegagalan undi percaya terhadap Ahmad Faizal dalam Dewan Undangan Negeri (DUN), Jumaat lalu.

"Bagaimanapun, saya tidak pasti hasil perbincangan itu kerana saya tidak menyertainya," katanya.

Jumaat lalu, Ahmad Faizal disahkan hilang sokongan majoriti selepas usul undi percaya yang dibuat ke atasnya tidak mendapat sokongan majoriti ADUN Perak.

Beliau kemudiannya meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak.

ARTIKEL BERKAITAN: Belum ada parti capai majoriti mudah tubuh kerajaan

MB Perak hilang sokongan majoriti