Ketinggian Everest meningkat hampir satu meter

Iklan
Ukuran dibuat Beijing sebelum ini mendapati ketinggian puncak tertinggi di dunia itu adalah 8,844.43 meter atau empat meter lebih rendah berbanding ukuran dibuat Kathmandu. - Foto Agensi

KATHMANDU - Gunung tertinggi di dunia, Everest yang terletak di Banjaran Himalaya didakwa lebih tinggi 0.86 meter (m) berbanding ukuran rasmi yang dibuat sebelum ini.

Kenyataan bersama Nepal dan China itu menjadikan ketinggian baharu Everest kini adalah 8,848.86 meter.

Iklan
Iklan

Sebelum ini, ukuran dibuat Beijing mendapati ketinggian puncak tertinggi di dunia yang terletak di sempadan China dan Nepal itu adalah 8,844.43 meter atau empat meter lebih rendah berbanding ukuran dibuat Kathmandu.

Pegawai di Kementerian Luar Nepal dan Jabatan Tinjauan berkata, juruukur daripada kedua-dua negara telah berkoordinasi untuk bersetuju dengan ketinggian baharu tersebut.

Iklan

Kesepakatan untuk ukuran baharu puncak Everest dibuat ketika lawatan Presiden China, Xi Jinping ke Kathmandu pada tahun lalu.

Sebelum ini, pihak berkuasa China menyatakan Everest perlu diukur berdasarkan ketinggian batu manakala rakan mereka di Nepal pula berpendapat ukuran itu perlu dibuat berdasarkan salji pada puncaknya.

Iklan

Pada 2012, pemerintah Nepal mendakwa mereka berdepan tekanan daripada China untuk menerima ukuran yang dibuat Beijing pada 2005 hingga memaksa negara itu mengukur semula.

Difahamkan, ketinggian 8,848 meter yang diguna pakai sejak sekian lama telah ditentukan oleh India pada 1954.

Buat pertama kali, Nepal menghantar empat juruukur tanah yang diberi latihan selama dua tahun sebelum melaksanakan misi tersebut.

Kathmandu menggunakan Teluk Bengal sebagai penanda paras laut manakala juruukur China dikatakan menggunakan Laut Kuning di wilayah Shangdong sebagai penanda aras paras laut untuk menentukan ketinggian Everest.

Bagaimanapun, juruukur kedua-dua negara terbabit menggunakan formula sama trigonometri dan Sistem Satelit Navigasi Global untuk mengukur ketinggian puncak gunung tersebut.

Beberapa ahli geologi berpendapat gempa kuat 7.8 magnitud yang meragut hampir 9,000 nyawa di Nepal pada 2015 mungkin telah memberi impak terhadap ketinggian Everest. - Agensi