Elaun latihan atlet, gaji jurulatih tak dipotong

Iklan
Wan Ahmad Fayhsal

TIADA pemotongan elaun latihan serta gaji atlet negara dan jurulatih dilakukan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lepas, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan (KBS), Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, walaupun latihan dilaksanakan secara pendekatan berasaskan kuarantin sejak Julai lepas, namun kebajikan atlet tetap terjaga.

Iklan
Iklan

"KBS menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) dengan kerjasama pihak berkepentingan yang lain seperti Majlis Olimpik Malaysia sentiasa berusaha meningkatkan prestasi atlet negara dan tidak pernah mengabaikan kebajikan mereka walau dalam apa keadaan sekalipun.

"Mereka yang menjalani progam latihan sepenuh masa, ditawarkan pakej latihan meliputi elaun latihan bulanan, kemudahan makan dan penginapan, pertandingan secara dalam talian atau simulasi, peralatan latihan dan pertandingan, kepakaran jurulatih serta perkhidmatan sains dan perubatan sukan,” katanya pada sesi soal jawab lisan.

Iklan

Wan Ahmad Fayhsal berkata demikian menjawab soalan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar) mengenai bantuan dan program susulan yang diperkenalkan kepada atlet-atlet negara yang tidak dapat menyertai kejohanan sukan peringkat antarabangsa akibat pandemik Covid-19.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayhsal berkata, penularan Covid-19 telah menjejaskan pelaksanaan latihan atlet pelbagai peringkat, namun MSN dengan kerjasama PSK dan Institut Sukan Negara (ISN) telah melaksanakan pelbagai program selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memastikan prestasi dan kecergasan atlet tidak merudum.

Iklan

"Antara program yang dijalankan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan ialah modul latihan kendiri dengan pemantauan jurulatih secara dalam talian bermula 2 April, kelonggaran khas bagi pelaksanaan Kem Latihan Program Khas Road To Tokyo secara pendekatan berasaskan kuarantin bagi atlet yang dikenal pasti untuk Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Tokyo bermula 1 Jun hingga 30 Jun lepas.

"Program Latihan atlet Sepenuh Masa secara berperingkat bermula 5 Julai bagi atlet program podium dan pelapis kebangsaan,” katanya.

Jelasnya, walaupun latihan harian dijalankan sepenuh masa, namun atlet negara tidak dapat menyertai kejohanan antarabangsa yang telah ditangguh atau dibatalkan menyebabkan MSN bersama PSK dan ISN menganjurkan pertandingan dalaman secara tertutup.

"Antaranya Simulasi Kejohanan Memanah, Badminton 100 Plus National Junior Ranking Challenge, Skuasy Kejohanan Dalaman, Angkat Berat National Test/Trial dan Swimming Time Trial,” katanya.

Sementara itu, Wan Ahmad Fayhsal berkata, gelembung sukan ketika ini masih di peringkat pertimbangan KBS dan MKN dalam memastikan penganjuran kejohanan sukan tempatan dan antarabangsa dapat dilaksanakan pada masa akan datang. - Bernama