PTPTN salur RM1 juta ringankan beban keluarga asnaf

Iklan
Wan Saiful (kiri) menyerahkan replika cek kepada Mohd Fadli semasa Majlis Penyerahan Sumbangan Skuad PTPTN Prihatin kepada DANA KITA yang disiarkan di Facebook rasmi PTPTN semalam.

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyumbangkan bantuan RM1 juta bagi membantu 5,000 keluarga asnaf yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan berkata, pihaknya sentiasa prihatin dan proaktif melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam usaha meningkatkan kesejahteraan masyarakat dan membantu golongan yang memerlukan.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedikit sebanyak menjejaskan pendapatan masyarakat, terutama golongan yang kurang berkemampuan.

"PTPTN merasai keluh kesah dan kesusahan rakyat yang terjejas pendapatan mereka akibat penularan wabak ini.

Iklan

"Ada yang tidak dapat bekerja seperti biasa, malah ada juga yang diberhentikan kerja, apatah lagi bagi mereka yang kurang berkemampuan.

"Situasi ini pastinya memberi kesan kepada kehidupan seharian anak-anak. Sebagai agensi yang berperanan menjadi tabung pendidikan negara yang sentiasa dekat dengan masyarakat, PTPTN terpanggil untuk menyumbang agar dapat mengurangkan beban yang ditanggung mereka,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Skuad PTPTN Prihatin kepada Pertubuhan Kebajikan Dana Kita (DANA KITA) yang disiarkan secara langsung di Facebook rasmi PTPTN semalam.

Turut hadir, Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid dan pengasas DANA KITA, Cikgu Mohd Fadli Mohamed Salleh.

Wan Saiful berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM500,000 akan disalurkan kepada DANA KITA untuk menguruskan sumbangan dalam bentuk barangan keperluan harian.

"Baki RM500,000 lagi akan diberikan dalam bentuk akaun SSPN-i bagi memastikan masa depan pendidikan yang lebih terjamin dalam kalangan keluarga asnaf,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad pula berkata, pihaknya yakin DANA KITA yang bergiat aktif dalam agihan sumbangan dan melaksanakan program-program amal akan dapat membantu PTPTN bagi merealisasikan hasrat murni ini.

"Secara keseluruhannya, melalui sumbangan ini, setiap keluarga asnaf yang dikenalpasti akan menerima sumbangan berupa barangan keperluan harian bernilai RM100, manakala RM100 lagi diberikan dalam bentuk akaun SSPN-i kepada seorang anak yang berumur 18 tahun ke bawah dalam keluarga asnaf tersebut,” katanya.

Katanya, bagi melancarkan pemberian sumbangan ini, Skuad PTPTN Prihatin akan turun padang bersama sukarelawan DANA KITA bagi membantu mengurus dan menyelaras agihan sumbangan ini.

"Agihan sumbangan ini dijangka bermula pada Disember 2020 dan berakhir pada Mac 2021,” ujarnya.

Sementara itu, Mohd Fadli berkata, pihaknya berbesar hati dengan kerjasama yang terjalin dan akan memberikan komitmen sepenuhnya bagi menjayakan program ini.

"Kerjasama dengan agensi kerajaan dan korporat merupakan salah satu program outreach DANA KITA untuk tahun 2020 dan ia sangat membantu DANA KITA bagi melaksanakan program-program di lapangan.

"Dengan penglibatan DANA KITA sebagai pemudahcara dapat mengubah stigma masyarakat terhadap PTPTN yang hanya menguruskan pinjaman, sebaliknya turut menyediakan skim simpanan pendidikan dan prihatin dalam membantu masyarakat,” katanya.