PUTRAJAYA - Budaya rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan penjawat awam di negara ini, ibarat barah yang dibimbangi akan merosakkan institusi kerajaan secara perlahan.
Hal ini terbukti berdasarkan statistik tangkapan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada 2015 sehingga Oktober tahun ini, apabila seramai 2,607 penjawat awam ditahan kerana terbabit dalam gejala tidak sihat itu.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil berkata, tangkapan melibatkan kumpulan pelaksana merekodkan jumlah tertinggi iaitu 1,884 individu, diikuti kumpulan pengurusan dan profesional seramai 658.
"Kumpulan pengurusan tertinggi pula mencatatkan 65 individu. Kita tidak mahu kerana segelintir individu ini akan merencatkan kelancaran pembangunan negara dan kredibiliti penjawat awam.
"Disebabkan itu usaha menangani dan memastikan negara terutamanya penjawat awam bebas rasuah adalah tanggungjawab bersama dan bukan hanya terletak di bahu SPRM sahaja,” katanya dalam temu bual eksklusif di pejabat SPRM di sini baru-baru ini.
Shamshun Baharin berkata, sempena sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) hari ini, SPRM memberi fokus kepada pihak berkuasa tempatan (PBT), dengan bertemakan ‘PBT Perangi Pemberi Rasuah’.
Jelasnya, PBT adalah salah satu fokus dalam Pelan Antirasuah Nasional (NACP) dan pihaknya sedia bekerjasama membantu PBT, dalam menangani masalah rasuah dan penyalahgunaan kuasa selain penyelewengan.
"PBT ini banyak isu dan bukan sahaja rasuah, tetapi juga isu perkhidmatan yang selalu dipertikaikan orang ramai.
"Ini adalah usaha mentransformasikan PBT menjadi organisasi berintegriti tinggi dan bebas rasuah," katanya.
Justeru, beliau turut menyarankan PBT untuk membangunkan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) tersendiri dalam usaha memerangi gejala rasuah secara komprehensif sekali gus memperlihatkan komitmen seluruh warga kerja dalam memerangi rasuah, selain bertindak sebagai peringatan dan amaran mengenai PBT tidak menerima rasuah.
Katanya Majlis Perbandaran Taiping antara yang pertama dalam kalangan 149 PBT di Malaysia, membangunkan pelan tersebut dan mencerminkan komitmen serta sokongan warga MPT dalam memerangi rasuah, malah secara tidak langsung menjadi pembakar semangat SPRM untuk terus memerangi rasuah serta salah guna kuasa secara habis-habisan.
"Kita sedia membantu PBT lain dalam menyediakan OACP, dengan memberi nasihat dan kerjasama dengan pegawai terbabit,” katanya. - Bernama