Yadim Kelantan bersih rumah mangsa banjir

Iklan
Mahadi (dua dari kiri) bersama Wan Hassan (dua dari kanan) menyampaikan bantuan makanan kepada 22 asnaf mangsa banjir di Kampung Gong Pasir, Pasir Puteh.

PASIR PUTEH - Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) bersama 12 badan bukan kerajaan (NGO) sedia mengerah keringat bagi membantu membersihkan rumah penduduk yang terjejas dengan banjir.

Pengarah Yadim Kelantan, Mahadi Awang berkata, kerja-kerja pembersihan akan melibatkan rumah ibu tunggal, warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

Iklan
Iklan

"Kebanyakan golongan ini tidak mempunyai kemampuan dari segi tenaga dan wang untuk membersihkan semula rumah yang ditenggelami banjir," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan makanan kepada 22 asnaf mangsa banjir di Kampung Gong Pasir di sini.

Iklan

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim.

Menurutnya, selain sumbangan tenaga, bantuan berupa makanan turut dihulurkan kepada mangsa banjir.

Iklan

Katanya, Yadim Kelantan memperuntukkan RM30,000 bagi memberi bantuan pasca tengkujuh kepada asnaf yang menjadi mangsa banjir di Kelantan.

Sementara itu, salah seorang penerima, Mohd Saufi Yaakob, 48, meluahkan rasa syukur selepas menerima bantuan keperluan dapur bagi meringankan bebannya yang hanya bekerja kampung dengan pendapatan RM800 sebulan.

"Bantuan ini amat membantu dalam meringankan beban saya selepas rumah ditenggelami banjir.

"Ditambah pula saya turut mempunyai seorang anak (Mohd Aqil Arfan, 6) yang mempunyai sakit jantung dan memerlukan banyak wang untuk rawatan susulan," katanya.

Dalam pada itu, warga emas, Hasnah Said, 67, menangis sebaik sahaja menerima kunjungan ziarah pihak Yadim.

Dia yang kini tinggal seorang diri selepas kematian suami, Sidek Ibrahim, 78, pada Oktober lalu.

"Memang susah nak urus diri tambahan pula, saya baru pulih daripada strok dua tahun lalu, bila ada orang datang 'jenguk' saya rasa sebak," katanya.