BEIJING - Ketinggian terbaru Gunung Qomolangma (Everest), puncak gunung tertinggi di dunia ialah 8848.86 meter yang mencatatkan peningkatan berbanding ukuran rasmi yang dibuat sebelum ini.
Ukuran terkini itu diumumkan bersama Presiden China, Xi Jinping dan Presiden Nepal, Bidhya Devi Bhandari pada Selasa.
Pada Oktober 2019, China dan Nepal mengeluarkan kenyataan bersama, bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dalam menangani perubahan iklim serta perlindungan alam sekitar.
Kedua-dua negara itu juga akan bersama mengumumkan ketinggian Everest di samping menjalankan kerjasama penyelidikan sains.
Misi pengukuran semula dijalankan Kementerian Sumber Alam China, Kementerian Luar China, Jabatan Pentadbiran Am Sukan Negara China dan kerajaan tempatan Wilayah Autonomi Tibet.
Pasukan pendaki China memulakan misi mencabar dan berbahaya ini pada 6 Mei lalu.
Lapan pendaki berjaya sampai di puncak gunung selepas mengharungi pelbagai kesukaran seperti cuaca esktrem dan mengambil masa selama 150 minit untuk melakukan kerja-kerja pengukuran, rekod paling lama setakat ini dalam sejarah China.
Misi berjaya diselesaikan pada 28 Mei dan pasukan pendaki selamat kembali ke Kem Qomolangma.
China telah melakukan enam kali pengukuran Everest dan mengumumkan keputusannya pada 1975 (8,848.13 meter) dan 2005 (8,844.43 meter).
Pengukuran semula dilakukan tahun ini untuk membolehkan ketinggian puncak itu digunakan dalam sektor pengajian seperti geodinamik dan gerakan plat.
Data tepat mengenai kedalaman salji, meteorologi dan kelajuan angin akan membantu pengajian dalam sektor penyeliaan perubahan glasier serta perlindungan alam sekitar.
Selain itu, data navigasi bertepatan tinggi dan teknologi penderiaan jauh akan memberikan pengaruh langsung terhadap kehidupan harian manusia, seperti pandu arah kereta dan hantaran ekspres. - Bernama