Putera Harry saman penerbit akhbar Britain

Iklan
Putera Harry dan isterinya, Duchess of Sussex Meghan. Foto: Agensi

LONDON - Putera Harry pada Ahad menyaman Associated Newspapers Ltd (ANL), penerbit akhbar Daily Mail di Britain kerana memfitnah, lapor Agensi Berita Xinhua.

Saman itu dikemukakan peguam Harry pada 27 November susulan artikel diterbitkan akhbar berkenaan pada Oktober yang mendakwa Duke of Sussex itu tidak berhubung lagi dengan Tentera Laut sejak beliau melepaskan tugas-tugas diraja pada Mac, menurut laporan media Britain, Isnin.

Iklan
Iklan

Perincian mengenai kes itu dijangka diumumkan dalam beberapa minggu lagi.

Sementara itu, isteri Harry, Duchess of Sussex Meghan, secara berasingan mengemukakan tuntutan undang-undang, terhadap ANL kerana melanggar privasi, hak cipta dan perlindungan data.

Iklan

Tuntutan itu berhubung satu artikel diterbitkan tahun lalu yang mendedahkan sebahagian kandungan surat ditulisnya sendiri untuk bapanya yang sudah lama terpisah, Thomas Markle pada 2018.

Pada awal Januari, Harry dan Meghan mengeluarkan satu kenyataan menyatakan mereka berhasrat melepaskan status kerabat diraja dan tidak lagi menerima imbuhan serta akan menghabiskan masa di Amerika Utara.

Iklan

Keluarga diraja Britain kemudian berkenan dengan permintaan pasangan itu dan menurut perjanjian baharu yang berkuat kuasa pada musim bunga 2020, mereka tidak akan menggunakan gelaran diraja dan diminta berundur dari tugas diraja, termasuk tugas rasmi tentera.

Sementara itu, mereka tidak lagi akan menerima dana awam untuk tugas diraja dan tidak lagi boleh mewakili Ratu secara rasmi, tambah kenyataan itu. - Bernama