Ibu tunggal harap bakat dua anak austime diketengahkan

Iklan
Normafizah melihat Muhammad Asyraaf Imani menunjukkan kemahirannya membuat grafik 3D sambil diperhatikan Mohd Ilyas Adam.

PORT DICKSON - Hanya belajar melalui internet, dua beradik autisme di Taman Port Dickson Utama, di sini mampu menghasilkan reka bentuk laman web, grafik dan suntingan tiga dimensi (3D) yang luar biasa.

Kemahiran yang dimiliki Mohd Ilyas Adam Salahuddin, 18, dan Muhammad Asyraaf Imani, 14, dikesan ibu mereka Normafizah Tuanaris, 49, sejak dua tahun lalu.

Iklan
Iklan

Kedua-dua beradik ini juga berharap dengan kemahiran yang ada, mereka dapat menjana pendapatan sekali gus membantu ibu menyara keluarga.

Normafizah yang merupakan ibu tunggal berkata, anak sulungnya Mohd Ilyas Adam mula dikesan menghidap autisme ketika berusia 14 tahun manakala adiknya Muhammad Asyraff ketika berusia 10 tahun.

Iklan
Kedua-dua beradik ini saling bertukar pandangan ketika berkarya.

"Kedua-dua anak saya ini pelajar yang pandai. Mereka dapat semua A ketika peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang membolehkan mereka masuk ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP).

"Tapi takdirnya kedua-duanya autisme. Mohd Ilyas Adam hanya sempat sekolah sehingga ke Tingkatan Empat kerana dia mengalami masalah kemurungan yang teruk.

Iklan

"Saya bawa dia pulang ke rumah dan sejak itulah dia belajar bidang teknologi seni reka dan multimedia kreatif dan ketika itu saya nampak potensinya," katanya kepada Sinar Harian selepas menerima kunjungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) My Kasih Care di rumahnya, di sini hari ini.

Paling membanggakan Normafizah apabila anaknya itu juga mampu berkongsi ilmu dalam bidang berkenaan kepada pelajar universiti.

Menurut Normafizah, Mohd Ilyas Adam boleh bercakap seperti pelajar normal lain, manakala Muhammad Asyraaf Imani pula pertuturannya agak lambat.

Katanya, anak bongsunya itu mula menunjukkan minat terhadap aplikasi teknologi seni reka multimedia kreatif ketika berusia 12 tahun.

"Bila masuk sekolah menengah baru dia cuba kuasai ilmu asas grafik dan semakin berkembang dari masa ke masa.

"Sekarang dia dalam proses nak belajar buat 'movie set' pula dan tengah siapkan bilik set penggambaran yang boleh buat kesan visual filem dengan kos sebanyak RM150 sahaja.

"Sebagai ibu, saya harap bakat mereka ini dapat diketengahkan dan boleh membuktikan walaupun austime tapi kemahiran yang mereka ada setanding pelajar normal lain," katanya.

Set penggambaran yang sedang disiapkan dengan kos sebanyak RM150 sahaja.

Sementara itu Pengerusi My Kasih Care, Syed Shukri Nizam Jaafar berkata, kedua-dua beradik berkenaan perlu diberikan peluang untuk menonjolkan kemahiran yang mereka miliki.

"Mereka ini tiada peluang untuk dedahkan bakat mereka. Manalah tahu bila diuar-uarkan di akhbar sebegini ada pihak yang berminat untuk mendapatkan perkhidmatan mereka atau membuat tawaran sambung pengajian dalam bidang ini," katanya.