SHAH ALAM - Debaran mencari pemenang Peraduan Sinar Harian Di Hatiku kini bermula apabila lebih 50,000 penyertaan dari seluruh Malaysia diterima sejak ia dilancarkan pada 5 Oktober lalu.
Editor Premium Content Sinar Harian, Zamri Rambli berkata, jumlah tersebut dijangka bertambah menjelang tarikh tutup peraduan pada 14 Disember ini.
Menurutnya, pembaca Sinar Harian mempunyai masa enam hari lagi untuk merebut peluang hadiah keseluruhan yang ditawarkan bernilai RM60,000.
"Pembaca digalakkan memanfaatkan peluang yang berbaki kurang seminggu ini untuk mencuba nasib dengan menghantar penyertaan yang lengkap mengikut syarat bersama jawapan yang tepat dan slogan kreatif untuk peluang memenangi hadiah utama yang ditawarkan.
"Sinar Harian juga begitu teruja kerana penyertaan yang diterima untuk peraduan ini sangat kreatif dan luar biasa, sekali gus menjadikan proses pemilihan serta penentuan pemenang semakin menarik,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.
Menurutnya, proses pengiraan bagi semua penyertaan yang dihantar kepada Sinar Harian sedang dijalankan dan ia akan diasingkan mengikut negeri bagi memudahkan dari segi penjumlahan termasuk untuk memilih borang penyertaan yang lengkap mengikut syarat ditetapkan.
"Kriteria pemilihan pemenang untuk Peraduan Sinar Harian Di Hatiku adalah jawapan yang dihantar mestilah tepat dan disertakan dengan slogan yang menarik.
"Pemenang bertuah layak memenangi hadiah utama berupa wang tunai berjumlah RM30,000, pemenang kedua menerima RM8,000 dan pemenang ketiga sebanyak RM2,000, manakala bagi lima pemenang sagu hati, masing-masing akan menerima tunai sebanyak RM1,000,” katanya.
Selain itu, Zamri berkata, seorang peserta yang menghantar penyertaan paling kreatif akan dipilih untuk memenangi wang tunai berjumlah RM5,000.
Sementara itu, Koordinator Advertorial Sinar Harian, Asmaliza Mansor pula berkata, penyertaan Peraduan Sinar Harian Di Hatiku yang diterima setakat ini amat menggalakkan, namun masih terdapat sebahagian penyertaan yang dihantar tidak lengkap dan tidak mengikut syarat.
"Ada jawapan yang kami terima tidak lengkap, tiada slogan, masthead Sinar Harian tidak cukup, malah ada juga yang menghantar sampul kosong tanpa jawapan.
"Jadi, bagi mereka yang dalam proses untuk menghantar penyertaan, masih belum terlewat untuk anda pastikan jawapan dihantar tepat berserta slogan dan masthead Sinar Harian mencukupi seperti ditetapkan.
"Anda juga boleh tonjolkan kreativiti masing-masing bagi melayakkan anda dipilih sebagai pemenang Peraduan Sinar Harian Di Hatiku,” katanya.
Menurutnya, senarai pemenang dijangka diumumkan pada awal tahun hadapan dan maklumat berkaitan akan dimaklumkan dari masa ke masa di semua platform Sinar Harian.