Tiga kali masjid dipecah masuk pencuri

Iklan
Arshad menunjukkan sebuah tabung masjid yang cuba dipecah pencuri dalam kejadian 3 Disember lalu.

SEKINCHAN - Masjid At Taufiqiah Kampung Parit 4 di sini menjadi sasaran pencuri apabila dipecah masuk kali ketiga dalam tempoh enam hari.

Nazirnya, Arshad Ramli berkata, kejadian pertama berlaku pada 2 Disember lalu, manakala kejadian kedua keesokannya dan terakhir kelmarin.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, menurutnya, pencuri terbabit hanya berjaya memecah dua tabung masjid dalam kejadian kali kedua pada 3 Disember lalu.

"Dalam kejadian pertama dan kedua, pencuri itu dipercayai masuk ke dalam masjid dengan memecah cermin pintu gelongsor pada bahagian belakang.

Iklan

"Dalam kejadian pertama, suspek gagal membuka tabung masjid dan kemudian datang keesokannya untuk memecah dua tabung iaitu kutipan masjid dan kutipan anak yatim.

"Kami percaya, hanya tabung masjid sahaja mengandungi duit yang dianggarkan sebanyak RM150, manakala tabung anak yatim dikunci dari luar dan dalam gagal dibuka," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Iklan

Arshad Ramli berkata, kegiatan sama turut berlaku kelmarin di mana pencuri itu masuk melalui pintu jeriji utama selepas jawatankuasa masjid mengikat simen batu bagi menggantikan pintu gelongsor sedia ada.

"Dalam kejadian kelmarin, pencuri itu dipercayai cuba memecah tabung utama masjid, namun gagal," katanya.

Justeru, katanya, sebanyak tiga laporan dibuat Bendahari Masjid At Taufiqiah Kampung Parit 4, Shamsul Anuar Ab Thani di Balai Polis Tanjong Karang.

"Kali terakhir, bendahari membuat laporan pada jam 9 malam kelmarin," katanya.

Katanya, beberapa tindakan dilakukan jawatankuasa masjid itu bagi menangani kejadian pecah masuk masjid terbabit.

"Kami telah membelanjakan sebanyak RM1,500 bagi pembinaan dinding simen dan RM1,100 pemasangan jeriji besi di tempat berisiko," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara itu.

"Kita mengesyaki ia dilakukan penagih dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan," katanya.