THP jadi isu politik, kata Mujahid

Iklan
Kenyataan Mujahid tentang THP turut dimuat naik di Facebook beliau hari ini.

SHAH ALAM - Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof mendakwa penjualan aset tanah ladang kelapa sawit Tabung Haji Plantation Sdn Bhd (THP) dijadikan isu politik yang membawa naratif bahawa aset dan harta orang Islam dijual kepada orang Cina.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amamah) itu berkata, campur tangan politik telah menjejaskan perjalanan THP yang kini mengalami pendarahan teruk apabila kerajaan memutuskan kelulusan penjualan aset itu ditarik balik.

Iklan
Iklan

Menurutnya, tujuan rasionalisasi aset THP dilakukan sebelum ini adalah untuk menyelamatkan aset ladang lain yang membawa pulangan tinggi manakala aset yang membebankan perlu dilepaskan supaya THP dapat berkembang dengan baik.

"Apakah ini satu contoh awalan campur tangan politik dalam amalan pengurusan korporat yang telus?

Iklan

"Apakah entiti korporat tertakluk kepada tekanan politik sehingga kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mampu mempertahankan satu keputusan perniagaan yang telah pun diperakui pada 24 November?" katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sinar Harian semalam melaporkan kerajaan memutuskan untuk menarik balik kelulusan penjualan aset tanah ladang kelapa sawit THP kepada Tamaco Plantation Sdn Bhd pada Jumaat lalu.

Iklan

Perkara itu disahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed (Ekonomi) dan Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (Hal Ehwal Agama) dalam satu kenyataan bersama.

Mengulas lanjut, Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berkata, THP adalah anak syarikat Tabung Haji (TH) yang memberi fokus pada sektor perladangan apabila lembaga itu meneroka bidang berkenaan pada 2006 yang didorong permintaan sawit yang meningkat.

Mujahid menjelaskan tentang THP menerusi hantaran terbaharu beliau di Facebook hari ini yang disertakan dengan beberapa poster tentang perkara itu.

"Daripada sebuah syarikat yang berskala sederhana dengan pemilikan 15,000 hektar, THP menunjukkan prestasi yang memberangsangkan. Pada tahun-tahun berikutnya, THP secara agresif membeli ladang sebesar-besarnya khusus 2012 ke atas sehingga keluasan milik ladangnya pada 2012 menjadi 100,000 hektar!

"Dari sudut perniagaan, tidak ada salahnya membesarkan keupayaan kita tetapi ia perlu melihat kepada kerapuhan modal pelaburan, hutang, kos operasi dan kapasiti produktiviti dan infrastruktur.

"Oleh kerana THP adalah syarikat yang berdaftar dengan Bursa Malaysia, ia tertakluk kepada undang-undang pengurusan korporat Bursa Malaysia, THP perlu memastikan perjalanannya mengikut piawaian yang ditetapkan," katanya.

Bagaimanapun, beliau memberitahu, masalah hutang, kos pelaburan yang tinggi dan kos operasi menyebabkan kedudukan kewangan THP menyempit.

Katanya, dalam menangani masalah hutang itu, pada 2015 THP mengambil keputusan menjual TH Bakti bernilai RM16.3 juta dan TH Gemas bernilai RM154 juta kepada sebuah syarikat swasta, Dupont.

Menurutnya, dalam kenyataan semasa penjualan tersebut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) THP waktu itu memberikan alasan untuk mengurangkan beban hutang THP.

"Bagi tahun kewangan 2018, THP menanggung hutang RM1.24 bilion dan pada suku ketiga, hutang meningkat kepada RM1.29 bilion. Pegangan tunai menyusut daripada RM50.6 juta kepada RM43.8juta. Keadaan ini memerlukan THP membuat rasionalisasi aset untuk memastikan kestabilan kewangannya.

"Sama seperti 2015, THP perlu melihat masalah hutangnya dan menyelamatkan aset lain yang membawa hasil lebih baik untuk mengurangkan kos operasinya. Atas alasan tersebut, beberapa ladang yang tidak produktif dan bermasalah terpaksa dilepaskan. Dengan berbuat demikian THP menjimatkan kos pinjaman sebanyak RM9.41juta," jelas beliau.

Tegas Mujahid, usaha menyelamatkan kewangan THP adalah urusan biasa amalan pengurusan korporat yang tertakluk bawah peraturan Bursa Malaysia selain THP juga mempunyai ahli lembaganya yang bebas membuat keputusan atas kepentingan kewangan syarikat.

Ekoran itu, katanya, beliau akan mendedahkan lebih banyak isu yang telah merosakkan institusi umat Islam TH termasuk THP dan TH induk sebelum beliau mengambil tanggungjawab ke atas TH selepas dilantik sebagai menteri.

"Malah laporan polis telah pun dibuat atas jenayah korporat terbesar yang memaksa saya membuat penstrukturan semula TH. Nantikan," katanya.