KUALA TERENGGANU - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu akan memasang satu lagi perangkap di Felda Kerteh 4, Dungun bagi menangkap harimau yang membunuh lembu penternak di sana.
Pengarahnya, Dr Abdul Malek Mohd Yusof berkata, perangkap kedua itu akan dipasang selewat-lewatnya esok bergantung kepada keadaan semasa.
Menurutnya, selain pemasangan perangkap baharu, pihaknya juga akan meneruskan kawalan bagi memastikan keselamatan orang ramai khususnya penduduk di sana terjamin.
"Kawalan ini melibatkan tiga hingga lima orang dan jumlahnya mungkin akan ditambah mengikut keperluan semasa," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi di sini hari ini.
Dr Abdul Malek berkata, Perhilitan menerima aduan daripada penduduk berhubung serangan harimau belang melibatkan dua ekor lembu pada 24 November.
Katanya, aduan kedua dibuat lima hari kemudian apabila seekor lagi lembu milik penternak ditemui mati dibaham pak belang.
"Berikutan aduan itu anggota kita bertindak memasang perangkap pertama pada Rabu lalu dan tindakan kawalan turut dilakukan," katanya.
Semalam, Sinar Harian melaporkan seramai 30 penternak lembu di Felda Kerteh 4, Dungun tidak dapat tidur lena apabila kira-kira 20 ekor haiwan ternakan mereka dibaham harimau sepanjang tahun ini melibatkan kerugian dianggarkan lebih RM50,000.
Pengurus Felda Kerteh 4, Mohd Azimi Hassan berkata, serangan terbaharu dilaporkan berlaku pada dua minggu lepas dan dalam tempoh tersebut enam ekor lembu milik dua penternak mati dibaham pak belang.
ARTIKEL BERKAITAN: 20 ekor lembu dibaham harimau