PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) sedang mencari jurulatih tempatan bagi menggantikan tiga jurulatih dalam pasukan badminton negara, yang kontrak mereka tidak disambung selepas mereka gagal mencapai sasaran masing-masing.
Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann berkata, persatuan itu sedang mengenal pasti calon yang layak bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh tiga jurulatih yang terdiri daripada Chin Eei Hui, Wong Pei Tty dan Rosman Razak.
Iklan
Iklan
"Kami masih belum memuktamadkan jurulatih yang layak yang akan dibawa ke dalam pasukan jurulatih negara, namun ketika ini kemungkinan besar ia melibatkan jurulatih tempatan,” katanya kepada Bernama hari ini.
BAM baru-baru ini memutuskan untuk tidak memperbaharui kontrak Eei Hui dan Pei Tty sebagai jurulatih beregu wanita, manakala Rosman yang dipertanggungjawabkan kepada beregu lelaki memutuskan untuk tidak lagi bersama pasukan negara atas persetujuan bersama.
Eei Hui dan Pei Tty adalah bekas pemain beregu wanita kebangsaan, yang merupakan gandingan mantap semasa zaman kegemilangan mereka sekitar tahun-tahun awal 2000, dengan persembahan yang paling tidak dapat dilupakan adalah semasa mereka memenangi pingat gangsa di Kejohanan Piala Dunia Badminton 2006 di China. - Bernama