Ibu pejabat baharu FAM antara isu disembah maklum kepada Agong

Iklan
Hamidin mempersembahkan jersi baharu skuad Harimau Malaya kepada Al-Sultan Abdullah hari ini. - Foto FB FAM

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin hari ini bagi menyembah maklum perkembangan terkini bola sepak tempatan.

FAM dalam laman Facebook rasmi memaklumkan pada pertemuan itu Hamidin menyembah maklum beberapa isu semasa kepada Seri Paduka Baginda selaku tokoh berpengalaman luas dalam bola sepak tempatan dan luar negara termasuk menggalas tugas selaku Presiden FAM pada tahun 2014 hingga 2017.

Iklan
Iklan

Antara isu semasa yang disembah maklum kepada Al-Sultan Abdullah termasuk perkembangan ibu pejabat baharu FAM dan pusat latihan kebangsaan (NTC) di Putrajaya serta aktiviti bola sepak negara kendalian badan induk itu dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) membabitkan jadual perlawanan mengikut prosedur operasi standard (SOP) susulan Covid-19.

Hamidin turut menyembah maklum proses penswastaan kelab dan pasukan Liga Malaysia (Liga-M) serta pemisahan persatuan bola sepak (FA) kepada kelab bola sepak (FC) selain persediaan dan persiapan skuad Harimau Malaya bagi menyambung saingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Mac 2021.

Iklan

Turut dimaklumkan mengenai perjalanan saingan Liga-M musim 2021 dan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) yang ditunda kepada Disember tahun depan.

Seri Paduka Baginda juga dimaklumkan mengenai perkembangan terkini bola sepak yang diputuskan dalam Exco AFF dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Iklan

Presiden FAM juga memohon perkenan pandangan Seri Paduka Baginda mengenai tanah FAM seluas 12.14 hektar di Bentong, Pahang.

Cadangan pembinaan ibu pejabat baharu FAM dan NTC di Putrajaya diilhamkan oleh ayahanda Seri Paduka Baginda, Almarhum Sultan Ahmad Shah yang juga Presiden FAM pada tahun 1984 hingga 2014.

NTC di Presint 5, Putrajaya dicadang menampilkan kemudahan moden termasuk tiga padang berciri antarabangsa yang kini dalam perbincangan fasa terakhir bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebelum kerja-kerja awal pembinaan dijangka bermula awal tahun depan.

Rundingan untuk membina ibu pejabat baharu FAM di Presint 5 juga sedang dimuktamad dan dijangka mula dibina pada penghujung 2021.

Sebagai tanda menjunjung kasih FAM, Hamidin mempersembahkan jersi baharu skuad Harimau Malaya kepada Al-Sultan Abdullah.

Majlis menghadap berkenaan adalah yang kedua oleh Hamidin sejak 27 Jun 2019. - Bernama