KUALA LUMPUR - Kira-kira 1,000 penggiat industri muzik tanah air boleh menarik nafas lega apabila isu royalti mereka dilihat sudah mencapai penyelesaian dengan bayaran permulaan royalti sebanyak RM500 seorang dijangka dibayar pada Januari tahun depan.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, bayaran permulaan itu melibatkan dana RM11.7 juta yang tertunggak pada tahun 2018 dan bayaran seterusnya akan diberikan berdasarkan laporan penggunaan lagu yang diperoleh daripada stesen televisyen dan radio tempatan.
"Royalti itu akan dibayar kepada mereka yang bernaung di bawah dua badan pelesenan kutipan royalti muzik iaitu Recording Performers Malaysia (RPM) Berhad dan Performers Rights Interest Society of Malaysia (PRISM) Berhad yang sebelum ini tertunggak kerana kedua-dua badan ini tidak mencapai konsensus bagi kaedah pengagihan royalti muzik yang bersesuaian.
"Bayaran tersebut dilihat dapat memberi kelegaan kepada penggiat industri muzik tanah air berikutan situasi pandemik Covid-19 yang melanda negara ketika ini di mana ramai yang terjejas pendapatan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat isu agihan royalti penggiat industri muzik tanah air di sini hari ini.
Sebelum ini media melaporkan agihan royalti kepada penyanyi dan pemuzik rakaman di bawah dua badan pelesenan kutipan royalti muzik akan dibayar selewat-lewatnya Disember ini.
Sementara itu, badan pelesenan kutipan royalti muzik yang hadir pada mesyuarat tersebut iaitu Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP), Public Performance Malaysia (PPM) dan RPM Berhad tidak bersetuju dengan cadangan persatuan pengguna muzik untuk melaksanakan moratorium bayaran royalti atas alasan perniagaan mereka terjejas kesan pandemik Covid-19.
Pengerusi PPM, Rosmin Hashim berkata, badan pelesenan melihat ia tidak adil untuk pengkarya muzik yang turut terjejas pendapatan akibat Covid-19 tetapi lagu-lagu mereka tetap dimainkan di premis perniagaan seperti hotel dan restoran.
"Bagaimanapun, badan pelesenan ini bersetuju untuk berunding dengan persatuan pengguna muzik iaitu antaranya pengusaha hotel, pusat beli belah dan restoran untuk menetapkan kadar bayaran royalti yang lebih munasabah terutama sepanjang tempoh pandemik Covid-19 ini yang memberi kesan kepada operasi perniagaan mereka.
Persatuan pengguna muzik juga perlu berlaku adil kepada pemain industri muzik kerana mereka juga kehilangan sumber pendapatan kesan virus Covid-19 ini,” katanya. - Bernama