BEKAS kapten Harimau Malaya, Shukor Adan yang dijangka kekal beraksi bersama Kuala Lumpur musim depan semakin hampir mencatatkan rekod selaku pemain paling berusia beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M).
Bagaimanapun, Shukor berkata, dia tidak terlalu memikirkan tentang rekod tersebut, sebaliknya mahu meneruskan karier sebagai pemain bola sepak sepak selagi khidmatnya masih diperlukan.
"Saya tak fikir hendak buat rekod sebagai pemain paling berusia di negara ini. Apa yang saya tengok adalah keadaan diri saya, sama ada boleh terus bermain dan buat masa ini saya bersyukur kerana tiada sebarang kecederaan serius.
"Apa-apa pun saya tengok dulu prestasi dalam beberapa perlawanan musim depan kerana musim ini, saya hanya bermain dalam lapan perlawanan kompetitif. Jadi sukar untuk cakap bagaimana keadaan diri saya untuk mengharungi musim depan,” katanya yang kini berusia 41 tahun.
Pada masa sama, Shukor yang pernah beraksi bersama Negeri Sembilan, Selangor, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Melaka United berkata, dia sebenarnya tidak merancang untuk bersara dalam masa terdekat.
"Apa pun saya bersiap sedia untuk beraksi dalam Liga Super sekali lagi kerana sebelum ini pada usia 40 tahun saya pernah membantu Melaka dan kali ini saya kena persiapkan mental, fizikal dan tahap kecergasan jika mahu bermain di peringkat tertinggi.
"Namun sebagai pemain senior, kita kena play smart dan bukannya play hard kerana tiada gunanya untuk mengerah kudrat 100 peratus kerana pengalaman membaca permainan adalah senjata yang terbaik,” ujarnya.
Shukor kini berpeluang memecahkan rekod sebagai pemain paling berusia beraksi dalam saingan Liga-M yang dimiliki penjaga gol era 1990-an dan awal tahun 2000, V. Murugan yang kali terakhir beraksi dengan Melaka pada usia 43 tahun.