POLITIK Perak sekali lagi dibadai gelora. Kerusi Menteri Besar milik Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu tiba-tiba hilang sekelip mata. Ia gara-gara beliau hilang kepercayaan dalam sidang Dewan Undangan Negeri Perak.
Mujur semalam kata sepakat sudah dicapai antara tiga parti - UMNO, Pas dan Bersatu. Selepas beberapa hari bermain teka-teki, akhirnya Datuk Saarani Mohamad disahkan bakal mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak yang baharu hari ini.
Sebagai anak jati negeri Perak, Merak Jalanan sendiri cukup kecewa dengan drama politik yang berlaku sebelum ini. Kadangkala Merak Jalanan terfikir, bila masa orang-orang politik berehat daripada ‘bermain politik’.
Ini bukan kali pertama Perak dilanda gelora politik. Tahun 2008 Perak bergegar dengan krisis politik apabila tumbangnya kerajaan negeri Pakatan Rakyat (PR) pimpinan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.
Akibat permainan politik orang-orang politik, kerusi Menteri Besar Perak ketika itu bertukar tangan. Tak sampai setahun menerajui Perak, PR tumbang sehingga akhirnya Mohammad Nizar terpaksa melepaskan jawatan.
Selepas 12 tahun berlalu, badai politik kembali menghempas Perak. Angkara permainan politik yang tiada kesudahan, Ahmad Faizal dua kali mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak – pertama bersama kerajaan Pakatan Harapan dan kedua bersama kerajaan Perikatan Nasional.
Memang benar apa yang selalu sahabat Merak Jalanan katakan. Katanya, nak berpolitik perlu ada taktikal – sama jugalah kalau kita nak main bola sepak, mesti ada taktikal dan formasi tertentu sebelum bertindak.
Apa pun bagi Merak Jalanan dan seluruh rakyat negeri Perak, kami sudah letih dengan cerita politik. Apa yang penting kebajikan kami. Sudah-sudahlah ‘bermain politik’. Kini masanya ahli-ahli yang berhormat kembali fokus kepada tugas masing-masing.